17 August, 2013

Hari Raya Aidil Fitri 2013

Salam kepada para pembaca dan pengikut blog ini. Posting ni adalah tulisan adik saya, Cikgu Norhashimah Hashim sekitar sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2013 Baru2 ni di Negeri saya, Kedah. Beginilah suasana sambutan Hari Raya itu. Cuma tahun ni, saya tidak berkesempatan meraikan bersama2 sanak saudara saya di sana.

Hari Raya Aidil Fitri 2013

Hari Raya Aidil Fitri 2013 agak menarik untuk dikenang. Ini ialah
kerana ada beberapa peristiwa yang dijangka terjadi tetapi tidak
terjadi. Ada pula peristiwa yang tidak pernah terlintas langsung di
fikiranku akan terjadi.

Aku meramalkan hari raya tahun ini agak membosankan kerana adikku yang
sering membawaku beraya ke sana ke mari mungkin tidak berkesempatan
berbuat demikian tahun ini memandangkan ibu mertuanya sakit dan dia
diperlukan untuk membereskan kerja-kerja di dapur. Dia hanya pulang ke
kampung pada 28 Ramadan selepas ibu mertuanya keluar dari wad sebuah
hospital swasta di Subang Jaya. Dia tidak sempat ke taman perumahanku
dan ikut berqiamulail semalam dua di surau kami seperti tahun-tahun
sebelumnya.

Pada 29 Ramadan, dia sibuk mengemas dan memasak. Pada pukul 7.20 malam
baru dia selesai membalut ketupat. Ini menyebabkan kami tidak dapat
berbuka puasa bersama keluarga mak su di Simpang 4 pada hari terakhir
Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya. Mudah-mudahan, mak su tidak
tertunggu-tunggu dan terharap-harap kedatangan kami.

Selesai sembahyang Isyak, alih-alih Ju, menantu sulung pak cik
menelefonku. Dia bertanya di mana dan dengan siapa aku beraya. Aku
menceritakan kesibukan adikku raya ni. Aku jelaskan yang aku akan
sembahyang raya di surau taman perumahanku dan kemudian aku akan duduk
mengadap televisyen. Dia beria mengajak aku beraya bersama mereka di
Taman Berlian. Aku menolak dengan lembut.

Beberapa jurus setelah menamatkan perbualan aku dengan Ju, aku
terdengar bunyi isyarat SMS masuk ke telefon bimbitku. Aku buat endah
tak endah saja kerana menyangka SMS yang masuk itu hanya berupa ucapan
selamat hari raya dari rakan-rakan dan anak muridku. Dengan tidak
semena-mena, telefonku berbunyi lagi. Suara Ju sekali lagi mencecah
ruang dengarku.

“Kak Shimah siaplah. Depa dah bertolak ke Alor Setar nak ambik Kak Shimah.”

“Eh … eh … tak payahlah susah-susah. Kak Shimah …”

“Depa dah bertolak. Siap sajalah.”

Aku jadi panik tidak menentu. Aku tidak pernah menyambut pagi raya di
rumah pak cik. Biasanya, di sebelah petang baru aku akan bertandang ke
sana bersama adikku. Dalam panik itu, aku mencapai telefon bimbitku
dan membaca SMS yang masuk bertalu-talu itu. Rupanya, ada satu SMS
daripada Naja, anak bongsu pak cik dan satu lagi SMS daripada Najmi,
suami Ju yang mengatakan mereka dalam perjalanan untuk menjemputku.

Aku tiada pilihan. Hendak tidak hendak, aku mengemas apa yang patut
sambil mengikuti drama di TV9. Dari semasa ke semasa Naja akan
menelefonku untuk memaklumkan lokasi mereka.

Aku sampai ke Taman Berlian, Sungai Petani menjelang tengah malam.
Selepas merasa tiga empat biji ketupat, aku terus masuk ke bilik dan
mengembara dari satu setesyen TV ke satu setesyen Tv dengan
menggunakan telefon bimbitku. Mungkin kerana kekenyangan, aku sukar
hendak melelapkan mata.

Lebih kurang pada pukul tiga pagi, aku terdengar bunyi dentuman yang
kuat. Serentak dengan itu, aku terasa lantai bilik bergegar. Aku SMS
Naja yang masih menonton TV di ruang tengah untuk bertanya apa
sebenarnya telah terjadi. Aku kira bunyi itu datang dari bilik pak cik
dan mak cik yang bersebelahan dengan bilik Naja. Katil mereka roboh
ke?

“Ada accident depan rumah. Kereta langgar tiang letrik. Tiang tu
terbalik.” Begitu bunyi SMS balasan daripada Naja.

Aku sudah lalok-lalok ketika Naja masuk ke bilik. Tapi, pada pukul
lima, aku sudah pun terbangun untuk berqiamulail dan seterusnya
menunggu masuknya waktu subuh.

Selesai membereskan urusan pagi dan bersarapan, seisi rumah pak cik
termasuk cucu-cucunya yang berusia antara lima hingga tiga belas tahun
bertolak ke masjid untuk sembahyang raya. Sepulangnya kami dari
masjid, aku didudukkan di sebelah pak cik dan mak cik. Anak-anak,
menantu-menantu dan cucu-cucu pak cik mula mengambil giliran lepas
sorang- sorang untuk bersalaman dan bermaafan dengan kami.

Kami kemudiannya telah ke rumah Pak Ngah, seorang lagi bapa saudaraku.
Pak Ngah telah lima tahun dijemput ke alam baqa. Tapi, kami tetap
mengunjungi Mak Ngah dan anak-anaknya. Dari rumah Pak ngah di Taman
Sri Wang, kami menghala ke kampung Mak Cik di Pinang tunggal pula.

“Anak-anak abang hang pakai tak kenai la tok cik dan tok ngah depa.”
Sayu suara Pak Cik melafazkan kata-kata itu sewaktu kami sedang dalam
perjalanan ke Pinang Tunggal.

Rumah pertama yang kami kunjungi di Pinang Tunggal ialah rumah Pak
Ngah Ani, abang Mak Cik yang paling tua. Kami menambahkan lagi
keriuhan di rumah itu yang telah memang sedia riuh. Kemeriahan di
rumah Pak Ngah Ani mengingatkan aku kepada kemeriahan hari raya di
rumah Tok dan Tok wan semasa hayat mereka masih ada.

Penduduk kampung Mak Cik mendapat rezeki terpijak apabila tanah mereka
diambil untuk projek pembinaan keretapi laju. Dengan wang pampasan
itulah Pak Ngah ani dan Mak Ngah Besah dapat menyempurnakan hajat
mereka untuk menunaikan haji dua tahun lalu. Rumah yang paling hampir
dengan landasan keretapi itu ialah rumah Pak Anjang, sorang lagi abang
mak cik. Ketika kami beraya ke sana, aku dapat dengar bunyi keretapi
barang lalu di landasan itu. Landasan itu masih di peringkat
percubaan. Gamatnya suasana apabila keretapi barang itu lalu. Aku
tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan pak anjang dan
keluarganya apabila landasan itu beroperasi sepenuhnya. Kami turut ke
rumah Pak Lang Yit, seorang lagi abang Mak Cik.

Dari Pinang Tunggal, kami kembali semula ke Taman Berlian. Ketika itu
sudah pun pukul 3.30 petang. Pada lebih kurang waktu itulah juga
adikku bersama suami dan anaknya serta Pak Cut bersama anaknya sampai
ke rumah Pak Cik.

Lepas solat asar, kereta adikku dan kereta Pak Cut meninggalkan
kawasan pekarangan rumah Pak Cik dan menuju ke Simpang 4. Aku ikut
serta dengan mereka. Kami singgah di kubur sebelum ke rumah mak su.
Kubur mak cut telah dibersihkan. Mungkin anak-anak mak su yang
menebang dan menebas ketika mereka datang membersihkan kubur ayah
mereka. Adikku meminta yang lain supaya tidak menunggu kami kerana
kami berhajat untuk membaca Surah Yasin. Kali ini kami membaca Surah
Yasin sambil berdiri kerana tidak ada surat khabar untuk melapik duduk
kami.

Selesai membaca Surah Yasin di pusara Mak Cut, kami teringin juga nak
jenguk kubur tok dan tok wan. Malangnya, ada beberapa kelompok orang
sedang membaca Quran dan sedang membersihkan kubur berhampiran. Jadi,
kami berjalan pulang ke rumah mak su ikut batas ban. Oleh kerana Mak
Su tidak ada di rumah ketika kami sampai, kami melencong ke rumah
Toksu Sarah dahulu. Lama juga kami duduk makan-makan di sana sambil
bertukar-tukar berita dan cerita. Toksu Sarah ada bertanyakan abangku.

“Kalau Tok Su tak dak, tah pakat tak mai dah rumah Tok Su ni.” Meski
kata-kata itu diucapkan dalam gelak-gelak, kata-kata itu sarat dengan
nada sinis.

Sewaktu bertemu Mak Su, Mak Su melahirkan rasa kecewanya kerana adikku
tidak singgah mengambilnya ketika hendak ke rumah Pak Cik seperti
tahun-tahun sebelumnya. Entahlah. Segalanya jadi caca merba raya kali
ni.

Ketika azan Maghrib bergema, Pak Cut dan anaknya Kila meminta diri.
Kesian Mak Su. Entah berapa minit saja dia dapat berjumpa Kila, anak
kandungnya. Meski Pak Cut tetap setia mengunjungi pusara Mak Cut
setiap kali tiba hari raya, masa yang dihabiskannya di Simpang 4
semakin singkat. Dia tidak lagi bermalam di Kedah. Ada saja taktik dan
alasannya untuk balik ke Kuala Kangsar.

Selepas solat Maghrib, adikku mengajakku ke rumah Mak Tok dan Tok Wan
(ibu dan bapa mertua Atan) di Kota Sarang Semut. Ketika kami sampai,
mereka sedang beraya di rumah jiran mereka. Jiran mereka ikut
mempelawa kami ke sana.

“Ni Nah ka?” tanya jirannya sewaktu bersalaman denganku.

“Bukan. Ini bukan Kak Nah. Ini kakak kami, kawan Kak Nah.” Jelas adikku.

Aku jadi hairan. Macam mana jiran Mak Tok dan Tok Wan kenal Rosnah,
kawanku pula?

Aku dapat tahu kemudinnya yang keluarga itu pernah berjiran dengan
keluarga Rosnah di Flat Balai Polis Jelutong.

Dari Kota Sarang Semut, adikku membawaku beraya di rumah ibu mertuanya
pula. Emak mertuanya tetap ramah dan mesra seperti selalu.
Bagaimanapun, adikku melaporkan yang ibu mertuanya sudah semakin tidak
berdaya. Jalannya sudah bertongkat. Dia sudah tidak peduli langsung
tentang hal ehwal dapur.

Aku sampai ke rumahku menjelang tengah malam dalam keadaan letih,
kenyang dan mengantuk. Keesokan harinya aku tidak ke mana-mana. Tapi,
perutku tetap kenyang kerana jiranku telah menghantar nasi tomato
kepadaku.

Pada hari raya ketiga, aku mengusulkan kepada adikku agar kami beraya
di rumah Najmi di Kubur Panjang. Anak sulung Pak Cikku itu sudah
kembali ke rumahnya kerana ada kenduri di situ. Adikku menurut.
Lantaran kesibukan adikku bersilat di dapur ibu mertuanya, kami sampai
ke rumah Najmi pada waktu Maghrib. Ju membekalkan kami dengan simpul
kasih dan kuih siput ketika kami hendak pulang.

Destinasi seterusnya ialah rumah rumah bapa mertua salah sorang adik
kami iaitu Man di Jalan Langar. Walaupun Man adik kami, kami lebih
mesra dengan Husna, isterinya. Anak-anak mereka yang lima orang itu
biasanya tidak mahu bersalaman denganku walaupun didesak dan diumpan
dengan duit raya. Tetapi, dalam kunjungan kali ini, mereka sudah mahu
bersalaman denganku ketika aku sampai dan ketika aku hendak pulang.
Ini merupakan satu perkembangan positif. Hanya anak kedua mereka yang
tidak turun ke ruang tamu kerana dia dah tidur.

Dari Jalan Langar, kami main redah saja mencari rumah terbuka sepupu
suami adikku di Jitra. Sekali lagi adegan di Kota Sarang Semut seperti
diulang tayang di sini. Adegan ulang tayang ini lebih meruntun hatiku
kerana melibatkan lebih ramai sanak keluarga dan saudara-mara.

“Ni Nah ka?”

“Makin sihat nampaknya Nah.”

Begitu girang nada suara sepupu sepapat dan kaum kerabat Rosnah kerana
mereka menyangka orang yang sedang dipimpin oleh adikku ialah Rosnah.
Sekali lagi adikku terpaksa memberi penjelasan.

“La, bukan Nah ka?”

“Ingat Nah tadi. Lama tak jumpa dia.”

Mereka menjauh bersama kata-kata itu. Aku tidak berkecil hati apabila
mereka menjauh. Tapi, hatiku ikut terentak. Aku dapat kesan kekecewaan
mereka. Hasrat mereka tidak kesampaian. Kerinduan mereka tidak
terlerai.
Pada petang hari raya keempat, kami ke kampung kenalan adikku di
Tobiar. Kemudian, kami ke rumah Mak di Guar Chempedak. Aku telah
menelefon mak sebelum kami ke sana untuk mempastikan mak ada di
pondoknya. Sepertimana aku, mak juga mula puasa enam hari itu. Kata
mak, dia tak ada apa-apa untuk dimasak sebagai juadah berbuka kami.
Aku mengatakan aku tak kisah jika hanya berbuka dengan nasi dan telur
goreng.

Sudahnya, hampir tidak cukup ruang di pondok kecil mak untuk
menghidang lauk-pauk berbuka. Di samping goreng cempedak, ada sayur
campur, rendang ayam dan ikan bakar. Cepat sungguh mak masak. Di
pondok mak juga kami bertemu dengan adik-adik kami yang lain bersama
keluarga mereka yang ikut bertandang ke situ kerana ingin beraya
dengan kami. Rafi dan anak sulungnya yang tinggal di Sungai Buloh
memang kebetulan pulang beraya dan tinggal di pondok mak. Azian dan
anak-anaknya yang menetap di Sungai Lalang juga tidak melepaskan
peluang keemasan itu. Wan, isteri dan anak-anak mereka juga bersusah
payah datang dari Kampung Paya Kercut, Pendang.

“Pak Long tak balik ka, Mak Ngah?” Aku agak terperanjat apabila soalan
itu ditanyakan oleh Afiq, anak kedua Azian sewaktu dia mengiringi kami
ke kereta. Dalam pada setahun sekali pun dia susah nak jumpa abangku,
anak yang baru berusia sebelas tahun ini tetap mengingati Pak Longnya.

Pada hari raya kelima, berlangsung satu lagi acara penting dalam
keluarga kami iaitu majlis pertunangan anak sulung mak su dengan orang
Mahang, Kulim. Aku tidak ikut serta dalam rombongan peminangan itu.
Tetapi, adikku yang sempat menyertai rombongan itu sebelum meneruskan
perjalanannya balik ke Rawang telah memberi gambaran terperinci
mengenai majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna itu.

Berlalu sudah Hari Raya Aidil Fitri 2013 M/1434 H. Apa yang pasti Hari
Raya aidil Fitri 2014 M/1435 H akan menyusul tahun depan. Tapi,
berupayakah Hari Raya Aidil Fitri tahun depan menemukan yang merindu
dengan yang dirindu? Mampukah Hari Raya aidil Fitri tahun depan
mengukuhkan semula ikatan kekeluargaan yang sudah terlerai? Atau,
mungkinkah ketika itu segalanya sudah terlambat?

29 July, 2013

Meringankan Bukan Menambah Beban

Salam. Kita akan masuk sepertiga yang terakhir untuk bulan Ramadhan tahun ini pada Selasa ini. Alhamdulillah, sana sini sudahpun sibuk dengan persiapan2
untuk menyambut ketibaan Aidilfitri. Lalu, sesuai dengan semangat Ramadhan, ramailah pihak yang menghulurkan bantuan untuk golongan2 yang memerlukan. Berbagai
pihak termasuk surau, masjid, agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan lain-lain menganjurkan majlis penyampaian bantuan ini. Biasanya bantuan yang diberi
itu adalah dalam bentuk wang tunai dan barang-barang keperluan harian. Golongan yang dikenal pasti untuk diberikan bantuan itu pula adalah terdiri dari
warga mas, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, saudara-saudara baru dan tidak ketinggalan OKU. Sesungguhnya usaha2 yang dilakukan ini patut dipuji dan
disanjung. Allah sahaja yang membalas keperihatinan pihak2 yang berhati mulia itu.

Cuma, apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah seharusnya semasa membuat perancangan untuk memberi bantuan itu, pihak2 yang berkenaan seharusnya berfikir
di luar kotak juga. Bantuan dalam bentuk wang tunai memanglah sangat2 membantu para penerima bantuan itu. Dengan wang itu, dapatlah digunakan untuk membeli
keperluan yang diperlukan menjelang sambutan Aidilfitri nanti. Akan tetapi, memberi barang2 keperluan seperti beras 10 kg, air kordial/jus 1 liter, gula,
susu, mihun dan berbagai lagi barangan tu ada kalanya menyusahkan pula para penerima bantuan itu. Bayangkanlah bagaimana seorang warga mas, ibu tunggal,
anak yatim dan OKU nak mengangkut barang2 tersebut balik ke rumah dari tempat menerima bantuan itu. Tidak semua memiliki kenderaan; tidak semua mempunyai
kudrat yang gagah; tidak semua tinggal berdekatan dengan tempat di mana majlis penyampaian bantuan itu diadakan.

Sebagai cadangan alternatifnya, rasanya adalah lebih praktikal bagi pihak penganjur menguruskan penghantaran barang2 keperluan yang berat dan besar tu
terus ke kediaman para penerima bantuan. Nama dan alamat serta nombor kad pengenalan sudah tertera pada borang yang diedarkan. Rasanya cara ini lebih praktikal
dan tidak membebankan para penerima bantuan itu yang sememangnya sangat memerlukan bantuan. Kita nak bantu mereka agar dapat meringankan beban mereka.
Bukan nak menambah beban kepada mereka.

Harap2 cetusan fikiran saya ini dibaca oleh pihak2 yang berkaitan agar sesuatu yang lebih positif dan praktikal dapat dirancang pada masa akan datang.

Huallahua'lamu bissawab.

08 July, 2013

Dialog Antara Guru2 OKU Penglihatan Dengan Kementerian Pendidikan

Salam. Semalam (Sabtu), telah berlangsung dialog antara guru2 oku
penglihatan dengan Kementerian Pendidikan anjuran Jawatankuasa
Pembangunan Modal Insan
SBM bertempat di premis SBM Cawangan Kl/Selangor. Rata2, yang hadir
adalah guru2 yang mengajar di aliran perdana. Turut hadir juga adalah
Ajai dari Sarawak,
mungkin satu2nya wakil outstation.

Keseluruhannya, kehadiran tidaklah sampai 20 orang. Namun, sesi
tersebut tetap hidup dan penuh dengan maklumat. Secara tak langsung,
sesi tersebut telah
membolehkan guru2 di aliran perdana meluahkan rasa hati mereka
memandangkan belum ada pihak di Kementerian yang dipertanggungjawabkan
untuk menjaga kebajikan
mereka.

Untuk mendengar perjalanan sesi dialog tersebut, sila dapatkan di
pautan berikut:

https://dl.dropboxusercontent.com/u/62533332/Dialog%20Dengan%20KPM%20%286%20Julai%202013%29.MP3

Semoga ada yang boleh dimunafaatkan bersama.

10 August, 2012

Penjelasan Tentang Proses Pembaharuan Kad OKU

Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) telah mengadakan perbincangan tentang isu dan masalah yang dibangkitkan berkaitan proses memperbaharui kad OKU. Satu surat penjelasan telah dihantar kepada semua Jabatan Kebajikan Masyakat Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berkaitan perkara ini.
 
Berikut adalah penjelasan kepada beberapa perkara yang sering dikemukakan :-
 
i.             Proses untuk mendapatkan Kad OKU baru bukanlah proses pendaftaran semula tetapi proses memperbaharui kad (renewal). Namun Borang Permohonan Pendaftaran OKU masih perlu diisi dengan butiran asas untuk dimasukkan ke dalam sistem.
 
ii.            Pada awalnya pihak JPOKU menetapkan 31 Julai 2012 sebagai tarikh akhir bagi memperbaharui Kad OKU sedia ada. Namun tarikh berkenaan dilanjutkan sehingga pengumuman akan datang kerana  masih ada OKU yang tidak dapat memperbaharui Kad OKU mereka. Objektif utama JPOKU adalah untuk memastikan semua OKU memperbaharui Kad OKU mereka untuk        menikmati kemudahan yang disediakan.
 
iii.           Pemeriksaan perubatan (medical examination) semula hanya kepada yang mengalami perubahan kategori. Misalnya seseorang yang memegang Kad OKU Penglihatan sekiranya, kini mengalami ketidakupayaan fizikal, maka pemeriksaan perubatan diperlukan kerana beliau akan dikategori sebagai OKU Tidak Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities). Bagi kes lain yang telah berdaftar sebelum ini tidak perlu pemeriksaan perubatan.
 
iv.          OKU Masalah Pembelajaran, yang pada awalnya diperlukan pemeriksaan perubatan semula apabila mencapai umur 18 tahun, dibenarkan memperbaharui kad OKU tanpa pemeriksaan perubatan semula kecuali bagi kes-kes khas yang dikenalpasti oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah. Ini untuk memudahkan proses memperbaharui Kad OKU.
 
Pihak JPOKU berharap penjelasan ini akan membantu menyelesaikan beberapa isu berkaitan proses memperbaharui Kad OKU. Terima kasih.
 
Pathmanathan Nalasamy
Ketua Penolong Pengarah
Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya
Tel : 03 83232483
Email : pathmanathan@jkm.gov.my

Dari Hujung Jejari Ke Gegendang Telinga Ke Akal Fikir


Apabila seseorang itu hilang salah satu panca inderanya, panca inderanya yang lain akan menjadi lebih peka dan aktif.  Bagi golongan OKU penglihatan, hujung jari akan menjadi lebih peka.  Malah, dalam banyak hal, ia berperanan seperti mata.

Sebelum saya berbicara lebih jauh, elok rasanya sekiranya saya membuat sedikit takrifan agar hala tuju tulisan ini nanti tidak tersasar dan kemudiannya disalah ertikan pula.  “OKU” adalah singkatan untuk “Orang Kurang Upaya”.  Ini adalah sejajar dengan takrif yang terdapat dalam Akta Orang Kurang Upaya yang telah diluluskan oleh Parlimen negara kita dan telah diwartakan pada tahun 2008.  pada masa ini, ada kecendrungan oleh beberapa pihak untuk menggantikan huruf “K” yang mewakili “kurang” dengan  “kelainan”.  Sebenarnya, apapun istilah yang dipakai, kami tetap “kurang” dan “lain” kerana memang hakikatnya kami kurang satu panca indera yang menyebabkan kami tidak sama dengan insan lain.

Bila berbicara tentang OKU penglihatan pula, golongan ini sebenarnya terdapat dalam dua kategori.  Ada yang masih mempunyai sedikit penglihatan.  Mereka masih boleh melihat cahaya dan objek.  Ada yang masih mampu menulis dan membaca tulisan biasa.  Ada yang perlu menggunakan alat bantu seperti kanta pembesar dan tv litar tertutup (CCTV).  Golongan ini dipanggil golongan yang berpenglihatan terhad atau rabun.

Satu golongan lagi ialah mereka yang langsung tidak dapat melihat.  Bagi golongan ini, siang dan malam sama saja.  Kalau kecacatan itu dialami sejak lahir, mereka tidak tahupun apa itu warna, bagaimana rupa bentuk langit, awan, bintang, bulan dan matahari.  Golongan inilah yang diistilahkan sebagai “buta”.  Untuk tujuan tulisan ini, saya akan fokus terhadap golongan ini.  Bagi maksud itu, OKU penglihatan di sini adalah merujuk kepada golongan ini.

Asas pendidikan seseorang itu ialah menguasai kemahiran menulis dan membaca serta mengira.  Di negara kita, golongan OKU penglihatan adalah antara kategori OKU yang agak cemerlang dalam pendidikan.  Ramai yang telah berjaya mendapat tempat di manara gading hingga ada yang berjaya memiliki ijazah doktor falssafah.  Namun, perjalanan yang terpaksa dilalui oleh individu OKU penglihatan demi menempa kejayaan sememangnya penuh beronak dan berliku.

Terciptanya satu sistem tulisan yang berasaskan titik-titik timbul di Perancis pada awal kurun ke-18 merupakan satu titik tolak bagi golongan OKU penglihatan di seluruh dunia.  Sistem tulisan yang dikenali sebagai Braille yang mengambil sempena nama penciptanya itu, telah disesuaikan dengan berbagai tulisan dan bahasa di dunia ini.

Sekolah yang pertama ditubuhkan untuk golongan OKU penglihatan di negara kita ialah sekolah St. Nicholas.  Sekolah ini telah dibuka oleh para mubaligh Kristian pada tahun 1926 di Melaka dan kemudiannya telah berpindah ke Pulau Pinang enam tahun kemudian.  Pada tahun 1996, sekolah ini sekali lagi berpindah ke Alma, Bukit Mertajam setelah pentadbiran sekolah tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran.

Pada tahun 1948, sebuah lagi sekolah khusus untuk murid-murid OKU penglihatan telah dibuka di Johor Baharu.  Pada awalnya, sekolah ini adalah di bawah seliaan badan sukarela.  Namun, kini ia juga adalah di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Murid-murid di kedua-dua buah sekolah ini memang diajar menguasai tulisan Braille itu sejak dari darjah satu lagi.  Mereka didedahkan kepada tulisan ini secara berperingkat sesuai dengan tahun persekolahan yang mereka lalui.  Biasanya, mereka sudah dapat menguasai tulisan ini di akhir tahap satu semasa di sekolah rendah.

Terdapat dua kaedah (grade) dalam sistem tulisan ini.  Kaedah pertama hanyalah bertumpu kepada huruf-huruf asas dalam sistem tulisan itu yang biasanya mampu dikuasai dalam masa yang singkat.  Akan tetapi, kaedah kedualah yang paling mencabar.  Dalam kaedah ini, seseorang perlu mengingat dan menghafal singkatan dan ringkasan yang bukan sedikit bilangannya.  Ia bukan sahaja terdiri daripada kombinasi dan formasi huruf malah melibatkan penggunaan simbol-simbol tertentu.  Itu belum lagi mempelajari sistem Braille yang digunakan untuk mata pelajaran matematik.  Tulisan Jawi juga mempunyai sistemnya yang tersendiri.

Pada dasarnya, tulisan Braille terdiri daripada enam titik timbul yang ditulis menggunakan dua ruang (kiri dan kanan) dan tiga baris (atas, tengah dan bawah).  Seseorang OKU penlihatan akan membacanya secara sentuhan jari.  Sekiranya tulisan tersebut ditulis secara sebelah muka “single-sided”, ia masih mampu dibaca menggunakan mata.  Akan tetapi, masalah akan timbul bila ia ditulis secara depan-belakang (double-sided).

Satu halaman Braille biasanya mengandungi 26 baris dan 36 aksara.  Ini bererti, satu halaman tulisan teks biasa bersamaan dua halaman Braille.  Sebab itulah kaedah dua dalam tulisan Braille diaplikasikan untuk mengelak daripada buku Braille itu menjadi lebih tebal.  Sebagai contoh, Kamus Dewan (Edisi Melayu-Melayu, Cetakan 1996) yang tebal itu, apbila ditulis pindah ke dalam tulisan Braille, ia menjadi 65 jilid dan ditulis secara depan-belakang.  Al-Quran pula mencecah enam jilid yang ditulis secara depan-belakang.  Pernah ada usaha menulis pindah majalah Dewan Masyarakat sekitar tahun 80-an.  Pada ketika itu, ia ditulis sebelah muka dan ketebalannya menjangkau lima jilid.

Disamping menguasai tulisan Braille, para pelajar OKU penglihatan juga “membaca” menggunakan telinga.  Bahan bacaan akan dirakam terlebih dahulu ke dalam pita kaset oleh guru atau para sukarelawan.  Penghasilan bahan ini lebih cepat berbanding secara Braille.  Ia juga mudah dibawa ke mana-mana.  Seseorang itu hanya perlu ada alat perakam kaset yang digerakkan menggunakan kuasa elektrik atau beteri untuk membolehkan dia “membaca” bahan berkenaan.  Inilah kaedah yang digunakan semasa di menara gading memandangkan banyak bahan yang perlu dibaca dalam ruang waktu yang singkat dan terhad.

Dekad 70-an dan 80-an menyaksikan satu revolusi dalam teknologi di seluruh dunia apabila komputer diperkenalkan.  Kehadiran teknologi ini turut membawa transformasi terhadap golongan OKU penglihatan.  Kalau selama ini kami ibarat katak di bawah tempurung, kini tempurung itu sudah hilang.  Tiba-tiba kami sudah boleh melakukan lebih banyak perkara dari sebelum ini.  Bukan sekadar di sekeliling kami bahkan sudah merentas sempadan hingga melampaui bangsa dan negara.

Perisian pembaca skrin (screen-reader software) telah dicipta dan dibangunkan untuk membantu kami yang tidak mampu membaca apa yang tertera pada layar monitor komputer.  Tidak terhad kepada komputer sahaja malah, perisian ini turut juga diaplikasikan dalam peranti-peranti lain seperti telefon bimbit, kalkulator dan jam.  Ia dipanggil pembaca skrin kerana ia membaca dan memaklumkan apa sahaja tulisan teks yang dipaparkan di atas layar monitor secara audio menggunakan suara elektronik.  Malah, sudah ada yang menggunakan suara manusia pun.  JAWS, Window-Eyes, HAL dan NVDA adalah antara beberapa perisian pembaca skrin yang telah dibangunkan itu yang kebanyakannya dibangunkan di Barat.  Beberapa negara termasuk negara-negara ASEAN telah berusaha membangunkan perisian khusus dalam bahasa negara mereka seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.  Akan tetapi, golongan OKU penglihatan di negara ini masih menunggu dan menanti satu perisian yang bercirikan lenggok dan gaya sebutan warga Malaysia.

Di Malaysia, golongan OKU penglihatan mula didedahkan dengan perisian ini apabila jam dan kalkulator bersuara dibawa masuk daripada Australia pada lebih kurang awal dekad 80-an.  Pada ketika itu harganya masih agak mahal.  Lama-kelamaan, harganya makin turun apabila perisian ini makin popular.  Kini jam dan kalkulator bersuara sudah boleh diperolehi di bawah RM50.

Penggunaan komputer di kalangan OKU penglihatan di negara ini bermula apabila dua orang OKU penglihatan telah ditaja untuk mengikuti kursus peringkat sijil di Overbrooke School, Amerika syarikat pada pertengahan dekad 80-an.  Mereka telah kembali ke negara ini dan telah berkhidmat sebagai tenaga pengajar komputer di beberapa pusat latihan khas untuk golongan OKU penglihatan.  Dari semasa ke semasa, ramai OKU penglihatan didedahkan kepada teknologi ini.  Ini membolehkan mereka menggunakan komputer di tempat kerja masing-masing.

Teknologi maklumat yang canggih itu juga turut memperkenalkan dunia siber menerusi internet.  Golongan OKU penglihatan pun turut mengecapi nikmat dan menafaat yang dibawa oleh teknologi ini.  Kami sudah boleh menghantar dan menerima emel.  Kami pun mampu melayari internet untuk mencari ilmu dan maklumat.  Kami juga dapat bertukar-tukar fikiran dan mencari kenalan di laman-laman sosial seperti Facebook. 

Dahulunya, kami terlonjak-lonjak ingin tahu apa yang dimuatkan dalam akhbar.  Kami perlu menanti rakan kami yang celik untuk tolong membacakan akhbar itu kepada kami.  Dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, itu semua sudah menjadi sejarah.  Kami hanya perlu melayari internet dan mencari laman-laman sesawang yang sememangnya banyak sekali untuk mendapatkan berita dan maklumat.  Bukan akhbar negara ini sahaja.  Malah, kami boleh memilih untuk membaca akhbar dari negara mana sekalipun di dunia ini.

Mungkin ada yang terdetik di hati ingin tahu bagaimana kami menaip di papan kekunci komputer.  Sebelum era teknologi maklumat hadir, sebahagian besar golongan OKU penglihatan telah didedahkan dengan cara dan teknik menaip dengan betul menggunakan mesin taip.  Kami telah diajar dan dilatih menggunakan kesemua sepuluh jari-jemari kami.  Kami akan meletakkan jari-jemari kami pada baris kekunci a s d f.  dengan menjadikan baris kekunci berkenaan sebagai baris asas, dapatlah kami menaip.  Pada masa itu, kami hanya dapat menaip tetapi tidak dapat menyemak dan membaca kembali hasil tulisan kami.  Kami terpaksa meminta bantuan rakan-rakan yang celik untuk menyemak hasil kerja kami itu.  Dengan komputer, kami sudah boleh berdikari.  Kami dapat menyunting sendiri hasil kerja kami mengikut kehendak dan cita rasa kami.

Telefon bimbit adalah satu lagi peranti yang sangat diminati.  Dahulunya ia dikategorikan sebagai “barang mewah” memandangkan harga untuk memilikinya agak tinggi.  Namun, kini ia sudah menjadi seperti satu keperluan dalam kehidupan kita.

Bagi golongan OKU penglihatan, fungsi telefon bimbit pada awalnya hanyalah sekadar untuk membolehkan kami membuat dan menjawab panggilan.  Namun, setelah perisian pembaca skrin untuk telefon bimbit diperkenalkan dan dibawa masuk ke negara ini, segalanya berubah.  Perisian ini mula mendapat tempat di kalangan pengguna telefon bimbit OKU penglihatan di negara ini sekitar lebih kurang 10 tahun yang lalu.  TALX dan Mobile Speak adalah antara perisian yang berkenaan yang juga dibangunkan di barat.  Kalau sebelum ini, telefon bimbit tidak lebih daripada peranti untuk membuat dan menjawab panggilan sahaja, namun, dengan adanya perisian ini, kami sudah boleh menguasai isi kandungan telefon bimbit itu.  Kami sudah mampu mengemas kini rakan kenalan sendiri.  Kami sudah berupaya membuat catatan harian.  Kami sudah boleh memasang penggera untuk mengejutkan kami pada waktu pagi.  Yang paling menggembirakan lagi, perisian ini membolehkan kami turut menikmati keseronokan berbalas-balas pesanan ringkas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Namun, semua ini memerlukan biayaan kewangan yang besar.  Harga perisian pembaca skrin untuk komputer mencecah RM4000.  manakala perisian untuk telefon bimbit pula berharga hampir RM1000.  tidak semua telefon bimbit boleh dipasang perisian ini.  Biasanya telefon yang berharga RM500 ke atas yang boleh dipasang perisian ini.  Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, demi mengejar teknologi terkini, seseorang OKU penglihatan itu terpaksalah mencari wang lebih untuk membolehkannya memiliki peranti dan perisian tersebut.  Ini kadang kala membangkitkan rasa kurang senang dan iri di kalangan masyarakat sekeliling pula.

“Kata miskin tapi boleh pula pakai telefon bimbit canggih!”

“telefon kami pun tak secanggih telefon dia!”

Begitulah antara kata-kata yang pernah diungkapkan oleh masyarakat bila melihat telefon bimbit yang digunakan oleh kami.  Yang mereka tidak mengerti ialah hanya telefon jenis itu sahaja yang memungkinkan kami menggunakan perisian pembaca skrin.

Kini, ada teknologi yang baru lagi.  Sistem Kedudukan Global (GPS) dibangunkan bertujuan untuk membantu menunjukkan arah kepada pengguna celik khususnya ketika memandu menuju destinasi yang jarang-jarang dikunjungi.  Bagi kami, teknologi ini pula dibangunkan untuk membantu memberitahu kedudukan sesuatu lokasi yang sedang kami lalui.  Ini sangat membantu kami terutamanya bila menaiki bas atau teksi.  Kami tidak perlu lagi bergantung kepada penumpang di sebelah untuk diberitahu bila kami harus turun dari bas itu.

I-                    phone dan I-pad pula semakin popular dewasa ini.  Yang menariknya, kedua-dua peranti ini sudah dilengkapi dengan perisian pembaca skrin.  Ini bererti, kami sudah tidak perlu lagi memikirkan untuk mendapatkan wang tambahan bagi membeli dan memasang perisian tersebut.  Meskipun kedua-dua peranti ini berkonsepkan “Touch Screen”, namun, ia tidak menjadi halangan bagi kami.  Ada beberapa lagi ciri-ciri istimewa yang datang bersama I-phone yang sememangnya sangat membantu kami.  Ada perisian mengecam warna yang boleh membantu kami memilih dan menentukan warna pakaian yang sesuai untuk dipakai ke pejabat atau ke majlis-majhlis tertentu.  Ada perisian yang membolehkan kami mengambil gambar meskipun pada hakikatnya kami OKU penglihatan.  Itu antara bebarapa ciri yang turut hadir bersama peranti-peranti yang baru diperkenalkan.

Teknologi terkini juga membolehkan kami mengakses bahan-bahan audio dengan lebih mudah.  Kalau dahulu kami terpaksa membawa bersama kami bahan tersebut yang dirakamkan ke pita-pita kaset, piring hitam atau cakera padat, kini, kami hanya perlu memasukkan bahan tersebut ke dalam telefon bimbit sahaja.  Dahulu, novel yang hendak kami baca terdapat sama ada dalam tulisan Braille atau pita kaset.  Kini, novel kegemaran kami dalam format teks dan MP3 sudah boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit dan boleh diakses di mana sahaja sama ada di rumah, pejabat, perhentian bas, dalam kereta api mahupun di lapangan terbang.

Dalam kitab Al-Quran, Allah telah berfirman: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah‑kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Luqman, ayat 27)

Antara maksud ayat di atas ialah ilmu yang ada pada manusia di dunia ini sedikit sahaja.  Oleh yang demikian, kita hendaklah terus berusaha meneroka dan berikhtiar mencari ilmu yang banyak itu.  Teknologi yang dibangunkan sehingga hari ini sememangnya bahnyak telah merubah kehidupan kita.  Malangnya ia banyak dibangunkan di Barat.  Apakah kita tidak berkemampuan melakukannya?  OKU penglihatan di negara ini banyak sekali menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh warga negara lain.  Semoga satu hari nanti akan tiba masanya di mana kita boleh berbangga dengan ilmu dan teknologi yang dibangunkan oleh warga negara kita di negara kita sendiri.

Bagi kami yang OKU penglihatan, kami redha dengan kekurangan yang telah ditakdirkan ke atas kami.  Hendaknya janganlah lagi diambil nikmat-nikmat yang lain daripada kami khususnya nikmat kepekaan pada hujung jari dan gegendang telinga serta akal fikir kami kerana indera-indera  itulah yang sangat-sangat membantu kami demi mencapai tahap kehidupan yang lebih cemerlang dan gemilang di muka bumi ini .

25 December, 2010

Anak Gadisku dan Results PMR Dia

Khamis, 23 Disember, 2010.

Pagi itu, Fiqah, anak gadisku yang sememangnya ceria, telah bangun untuk bersiap ke sekolahnya. Aku telah bercuti hari itu, stand-by, kalau-kalau orang rumahku meminta aku menemani Fiqah ke sekolahnya. Namun, Fiqah sudahpun awal-awal membuat rancangan untuk ke sekolah dengan rakan sekelasnya yang juga tinggal di apartment yang sama dengan kami.

Lebih kurang pukul 9.15, dia keluar menuju ke rumah rakannya itu.

10.45, kedengaran orang rumahku berbual dengan Fiqah di telefon. 4A, 2B dan 2C. demikian maklum Fiqah kepada umminya. Alhamdulillah. Syukur ke hadhrat Ilahi. Merasa juga kami nikmat anak beroleh gred A dalam peperiksaan awam walau bukan straight As. Dalam hatiku, tak sia-sia aku memindahkan dia ke SMK Petaling tu. Ramai juga rakan-rakan sekelasnya yang dapat keputusan cemerlang meskipun mereka adalah dalam kelas kedua terbaik.

Lebih kurang pukul 12 tengah hari, dia pun pulang semula ke rumah. Setelah aku dan ummi dia mengucapkan tahniah, dia pun berceritalah tentang suasana mengambil keputusan PMR dia tadi. Rakannya yang tinggal ssama apartment dengan kami dapat 5A. sekali lagi kami bersyukur kerana dia telah berkawan dengan rakan yang boleh diharap untuk saling membantu dalam pelajarannya.

Tahun 2011, mereka akan naik ke tingkatan 4. Tak pastilah sama ada mereka akan dalam kelas yang sama atau tidak. Fiqah bercadang nak ambik akaun.

Semoga kejayaan demi kejayaan akan ditempa oleh anak gadisku ini.

21 September, 2010

Cerita Raya 2010

Lebih kurang empat bulan aku tidak update blog ni. Rasanya ramai dah bosan nak tunggu cerita baru daripada blog aku ni. Sejak main Facebook ni, banyak masa terpaksa diperuntukan untuk dia. Orang baru main FB. Banyak yang perlu diteroka. Akibatnya agak terabailah sikit blog ni. Namun, jauh di sudut hati nubari ni, tetap ada ingatan untuk update blog ni.

Mungkin kisah rayaku tahun ni boleh aku kongsi dengan kalian. Taklah menarik mana pun. Tapi ada beberapa insiden yang telah terjadi bukan atas perbuatan dan perlakuanku tapi telah pun terjadi.

Orang rumahku beriya-iya nak balik kampung dia dengan bas meskipun aku dah terangkan bahawa dengan keretapi lebih jimat sebab anak-anak boleh dapat tambang konsesi sebagai pengiring.

Nasib menyebelahi kami kerana dapat juga aku mendapatkan tiket bas tambahan pergi dan balik ke Jerteh, Terengganu. Kami balik pada malam 8 September menaiki bas tambahan Ekspres Perdana. Bas pukul 10 tapi pukul 11.10 baru bas tu sampai di Hentian Putra. Tidak ada harga konsesi untuk OKU. Harga tiketnya pun lebih mahal sikit. Bas tambahanla katakan! Kul 11.22 baru bas bertolak. Kami sampai di Jerteh kul 9.45 pagi esoknya. Memang lari dari waktu yang dijadualkan untuk kami sampai.

Pada malam raya ketiga (12 September), kami bersalaman dengan keluarga abang iparku buat kali terakhir untuk menaiki bas pulang ke KL. Kali ini, bas Trans Nasional dua tingkat. Harga tiket dia pun mahal sikit. Anak-anakku kena RM59.90 seorang sementara aku dan isteri Rm49.90 seorang. Bas dijangka sampai kul 10.15. Kul 11.30, ada sebuah bas dua tingkat berhenti. Tapi yang tertera ialah City Liner. Kul 12 malam, anak-anak saudara (sebelah orang rumahku) bertanya pada petugas di stesen bas tu. Kata petugas tu, bas kami dah datang kul 11.30 tadi. Bas City Liner tulah bas kami. Rupanya, Trans Nasional menyewa bas tu sebagai bas tambahan untuk raya ni. Yang jadi haru-biru tu sebab Trans Nasional tu kecil je tulisan dia. Tu yang tak perasan tu. Apa lagi yang mampu kami buat melainkan berpatah balik semula ke rumah abang iparku untuk bermalam satu malam lagi.

Pagi esoknya, (Isnin, 13 September), anak-anak abang iparku berikhtiar dan berusaha untuk melihat di internet kalau-kalau ada lagi tiket untuk kami balik ke KL. Alhamdulillah, masih ada lagi tiket keretapi. Abang iparku meminta salah seorang kawan kepada anaknya untuk membeli dulu tiket tu. Memanglah beli dengan harga penuh sebab macam mana nak bagi segala dokumen yang diperlukan untuk tujuan mendapatkan harga konsesi tu.

Kul 12 tengah hari, kami sekali lagi menaiki dua buah kereta untuk ke stesen KTM Wakaf Baru. Kami sampai kul 2.40 dan singgah makan di salah sebuah kedai makan di situ.

Selesai makan, abang iparku dan anak-anaknya pun balik. Tinggallah kami menanti keretapi ke KL. Alhamdulillah, lebih kurang kul 7 malam, kami pun menaiki keretapi pulang ke KL. Tercapai juga hasrat anak-anakku untuk naik keretapi. Nasib baik abang iparku tolong sponsor. Kalau tidak, tak tahulah macam mana kami nak balik. Tiket bas Trans Nasional tu memang burn la!

Aku pula merancang untuk balik beraya di Kedah sekembalinya aku daripada Terengganu. Tiket keretapi aku dah beli pada Isnin tu. Tapi terpaksa burn juga tiket tu disebabkan perjalanan pulang kami yang tertunda tu.

Sesampainya di KL pada pagi Selasa tu, aku terus ke kaunter tiket KTM di Kl Sentral. Alhamdulillah, masih ada lagi tiket ke Alor Setar pada malamnya. Setelah membeli tiket tu, kami pun menaiki teksi pulang ke rumah.

Pada pagi tu juga, handsetku pulak buat perangai. "Sim card registration fail. Okay." Itulah mesej yang tertera dan dibacakan oleh Talx kepadaku pagi tu. Apa hal lak ni! Aku langsung tak boleh buat dan terima panggilan/sms. Ini tak boleh jadi ni. Aku mesti ke Celcom juga untuk menukar kad sim aku. Alhamdulilah, aku tidak menghadapi masalah untuk ke Celcom dan untuk menukar kad sim yang baru.

Malam tu, anak perempuanku menolong menahan teksi untukku ke KL Sentral. Alhamdulillah, tercapai juga hasratku untuk pulang beraya di Kedah pada tahun ni. Tapi dua hari je. Hari Rabu, hujan hampir sepanjang hari. Namun, dapat juga aku beraya di Simpang Empat dan Kubur Panjang. Hari Khamis, cuaca cantik sekali. Aku dapat beraya di 6 buah rumah di sekitar Sungai Petani dan Mergung sebelum berangkat semula pulang ke KL dengan keretapi pada malamnya.

Itu cerita aku beraya di kampung orang rumah dan kampungku. Di rumah kami di KL pun tak kurang juga insidennya. Pada malam Selasa tu, baru kami perasan yang tiga lampu di ruang tamu tidak berfungsi. Apa yang perlu dibaiki pun tak tahu - starterkah, mentolkah atau wayarnyakah!

Sejak semalam, orang rumahku menyuarakan rasa kurang senangnya atas bau gas yang agak ketara di dapur. Anak sulungku membuat ujian untuk mengenal pasti kalau-kalau ada kebocoran pada saluran gas tu tapi tak jumpa pun kebocoran tu. Barangkali kepala gas kot. Betul pun. Setelah Aku ganti kepala yang baru, dah tak ada lagi bau gas tu.

Aku masih lagi bercuti hingga Khamis ni. Mulanya ingat nak join Persidangan Pemulihan OKU di PWTC tu. Tapi aku tak pun berikhtiar untuk mendaftar menghadiri persidangan tu. Cadang nak mula puasa nam. Tapi tak start lagi pun.

Begitulah serba sikit apa yang aku lalui pada raya 2010 kali ini. Apapun, aku seronok sebab dapat beraya di kedua tempat pada tahun ni. Mudah-mudahan, tahun depan pun aku dapat beraya di kedua-dua tempat juga macam tahun ni.

12 May, 2010

Piala Thomas Datang Lagi

Buat ke sekian kalinya, kejohanan Piala Thomas, antara pertandingan yang agung dan paling prestij bagi sukan badminton datang lagi. Tahun ini menyaksikan negara kita menjadi tuan rumah kepada kejohanan itu. Apakah kita akan berjaya memenangi piala itu pada hari Ahad ni? Sama-samalah kita tunggu.

Aku mula didedahkandengan kejohanan ini pada tahun 1970. Ketika itu aku terlantar di Hospital Pualau Pinang kerana menjalani pembedahan mata kiriku yang terpaksa dibedah akibat satu kemalangan ketika aku dan rakan-rakanku sedang bermain kejar-kejar di sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang. Sebulan aku terlantar di sana. Biji mata kiriku terpaksa dikeluarkan akibat daripada perlanggaran trajis itu. Maka bermulalah kehidupanku sebagai seorang buta sepenuhnya.

Ketika itu, aku masih belum miliki radio sendiri lagi. Mr. Brohier, guru besar pada masa itu, sangat prihatin denganku. Beliau antara yang kerap menziarahiku. Aku dalam darjah 2. Hari-hari ada saja rakan-rakan yang datang melawatku di hospital - baik yang sekelas, yang kelas lain mahupun yang senior. Adikku, Cikgu Shimah yang baru kelas tadika, paling kerap dibawa melawatku. Mr. Brohier, di samping membawa rakan-rakan, juga turut membawa buku untuk kubaca semasa di wad.

Satu hari, beliau datang melawatku bagai biasa. Kali ini membawa sebuah radio kecil. Radio ini adalah milik selah seorang rakan seniorku di sekolah tu. Menerusi radio inilah aku mula kenal radio - stesen-stesennya, radio pendidikan, ulasan sukan dan yang sewaktu dengannya.

Kebetulan, pada waktu itu, sedang berlangsung kejohanan Piala Thomas di Jakarta. Mulanya, boring juga aku. Tiap malam ada ulasan pertandingan Piala Thomas. Pada masa tu, pertandingan dijalankan selama dua hari - 5 perlawanan di hari pertama dan 4 lagi pada keesokannya. Aku sendiri pun tak tahu apa benda badminton tu. Yalah! Aku sudahpun bersekolah di sekolah khas. Manalah orang buta main badminton! Bola adalah. tupun yang diubah suai. Bila malam je, buka radio ada badminton. Rasanya, masa dah masuk suku akhir baru aku mula faham permainan tu. Aku pun dah makin berminat dan bersemangat mengikuti pencapaian pasukan negara kita. Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan aik Kwang, Tan Aik Mong dan beberapa nama lagi adalah pemain pasukan kita. Kalau tak silap, negara kita berjaya masuk pertandingan akhir bertemu dengan Indonesia. Masa tu, China belum join lagi.

Dalam keseronokan dan keghairahanku menunggu perlawanan akhir itu, tiba-tiba, Mr. Brohier datang memaklumkan bahawa rakanku itu nak radionya balik sebab dia pun nak dengar perlawanan akhir juga. Terpaksalah aku melepaskan radio itu kembali kepada tuannya dengan rasa sedih dan berat di hati. Keesokannya, aku pun bertanyalah kepada jururawat dan mereka yang datang menziarah tentang keputusan perlawanan akhir itu.

Pada tahun 1994 pula, Piala Thomas datang lagi dengan kenangan lain pula. Kali ini, anak sulungku, Izzat,terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat melecur terkena air panas. Kejohanan tu pun berlangsung di Jakarta juga. Izzat baru 2 tahun lebih. Dah merasai pengalaman terlantar di wad. Tak tahulah dia ingat ke tidak. Tapi tak lama. lebih kurang 5 hari je. Pada hari ke-5 tu, dia demam. Sebelum keadaan bertambah teruk, kami minta untuk bawa pulang Izat ke rumah. Cabaran pada kami ialah untuk membuka dan membalut semula balutan pada kaki kanan Izzat. Dia melecur dari peha hingga ke belakang betis.

Setelah dua minggu tak berapa nampak perubahan yang ketara, kami memutuskan untuk menamatkan saja rawatan di pusat perubatan tu dan beralih ke klinik swasta. Baru kami tahu bahawa anak kami sebenarnya telah dijadikan bahan uji oleh doktor terbabit. Mana ada orang balut kesan akibat melecur? Biasanya kesan itu didedahkan agar ia terdedah kepada udara dan cahaya matahari. Kali ini, barulah nampak kesannya.

Pada tahun berkenaan, negara kita sedang mempertahankan piala yang baru dimenangi pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Malang, kita tumpas di Jakarta. Provokasi peminat fanatik di Jakarta juga adalah antara penyebab kegagalan kita.

Di tahun 2010 ini, aku terkilan juga kerana tiada stesen radio yang membuat ulasan selari kejohanan ini. Radio Klasik Nasional membuat lintas langsung masa Arena Sukan. Radio Bernama membuat lintas langsung semasa waktu beritanya. Hot FM pun membuat lintas langsung ikut suka dia, menyelit antara lagu dan bacaan sms daripada pendengar. BFM (Business FM) ada menyiarkan lintas langsung perlawanan bola sepak English Primeer League pada hujung minggu. Tapi tak buat lintas langsung untuk kejohanan besar ini walaupun dilangsungkan di negara sendiri.

Di negara kita, senarionya seolah-olah para pengulas sukan seperti sudah tidak lagi berperanan. Ini berbeza sekali dengan negara luar. Badan Penyiaran British (BBC), masih menyiarkan ulasan perlawanan sukan seperti bula sepak, tenis, kriket dan lain-lain lagi. Malah, mereka mempunyai satu stesen radio untuk sukan - Radio 5. Apakah radio hanya untuk mendengar lagu dan lagu dan lagu saja?

Besnya kalau radio dapat kembali mengambil peranannya sebagai media pengetahuan dan maklumat di samping hiburan seperti dulu-dulu. Saddisnya!!!

10 May, 2010

Terjemahan Surah 'Abasa

Rakan-rakan dan para sahabat sekalian,

Susulan daripada petikan rencana daripada Utusan Malaysia yang telah saya poskan ke blog ini pada 6 Mei lalu itu, inilah saya perturunkan pula terjemahan sepenuhnya surah yang diperkatakan dalam rencana tersebut untuk sama-sama kita jadikan renungan dan iktibar. Ini ialah surah yang ke-80 dalam kitab Al-Quran.

Saya mohon berbanyak maaf kerana tidak dapat menyertakan sumber terjemahan ini kerana saya perolehi terjemahan ini pun daripada seorang rakan. Mudah-mudahan, sumber ini ialah sumber yang boleh dipegang dan dipercayai. Huallahu a'lamu bissawab.

'Abasa

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(80.1) Ia memasamkan muka dan berpaling,

(80.2) Kerana ia didatangi orang buta.

(80.3) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)!

(80.4) Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

(80.5) Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al Quran),

(80.6) Maka engkau bersungguh sungguh melayaninya.

(80.7) Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).

(80.8) Adapun orang yang segera datang kepadamu,

(80.9) Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah perintah Allah),

(80.10) Maka engkau berlengah lengah melayaninya.

(80.11) Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat ayat Al Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).

(80.12) Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.

(80.13) (Ayat ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah naskhah yang dimuliakan,

(80.14) Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan),

(80.15) (Terpelihara) di tangan malaikat malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz;

(80.16) (Malaikat malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

(80.17) Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?

(80.18) (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah?

(80.19) Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;

(80.20) Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih);

(80.21) Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;

(80.22) Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

(80.23) Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.

(80.24) (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):

(80.25) Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.

(80.26) Kemudian kami belah belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh tumbuhan,

(80.27) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji bijian,

(80.28) Dan buah anggur serta sayur sayuran,

(80.29) Dan Zaitun serta pohon pohon kurma,

(80.30) Dan taman taman yang menghijau subur,

(80.31) Dan berbagai buah buahan serta bermacam macam rumput,

(80.32) Untuk kegunaan kamu dan binatang binatang ternak kamu.

(80.33) Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat,

(80.34) Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,

(80.35) Dan ibunya serta bapanya,

(80.36) Dan isterinya serta anak anaknya;

(80.37) Kerana tiap tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(80.38) Muka (orang orang yang beriman) pada hari itu berseri seri,

(80.39) Tertawa, lagi bersuka ria;

(80.40) Dan muka (orang orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,

(80.41) Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap gelita.

(80.42) Mereka itu ialah orang orang yang kafir, yang derhaka.

06 May, 2010

Aku dan Rakan-Rakan Sekerjaku

Sejak langkah berjimat-cermat dijalankan oleh jabatan tempat kerjaku, ini kali kedua aku terlibat dalam mesyuarat di luar pejabat. Tak jauh pun. Sekitar KL je.

Pada 19 - 22 April lalu, aku menyertai satu mesyuarat yang membincangkan konsep pentaksiran alternatif d Hotel Plaza. Minggu ni (3 - 6 Mei), aku sekali lagi menyertai mesyuarat di luar pejabat. Kali ini di Grand Continental Hotel pula. Tak jauh manapun. Kedua-dua hotel tu sebenarnya bersebelahan je di Jalan Raja Laut.

Dari segi bilik tidur, rasanya Hotel Plaza lebih "spacious" berbanding dengan Grand Continental. Di Grand Continental, nak sembahyang pun agak susah. Kerusi sofa terpaksa diubah posisinya untuk diletakkan di antara dua katil single. Baru ada sikit ruang yang agak selesa untuk mengerjakan solat.

Dari segi mesra OKU pula, hotel ni seperti macam nak mesra dengan OKU khususnya OKU penglihatan tapi sebenarnya masih tak cukup mesra. Lifnya tak ada suara tapi ada huruf Braille. Tapi yang sedihnya, huruf Braille tu hanyalah pada "appearance"nya je. Ada biji-biji timbul tapi kedudukan titik-titik itu begitu rapat sekali hingga agak sukar bagi kita (OKU Penglihatan) nak meraba dan seterusnya mengenal pasti nombor tingkat yang dilekatkan di dinding lif itu. Mujurlah butangnya adalah jenis tekan dan bukan jenis sentuh. Tapi yang leceh sikit, kena swipe kad pintu bilik pulak. Kalau tidak lif tak jalan.

Pada segi yang lain pula, nombor biliknya ditulis dengan nombor biasa tapi timbul. Ini membolehkan seseorang OKU penglihatan itu mencari pintu bilikhya sendiri.

Berbanding dengan Hotel Plaza, agak sukar untuk mencari pintu bilik sendiri memandangkan nombornya tidak timbul. Lifnya pun tiada suara dan Braille.

Aku tidaklah berhasrat nak memperincikan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat itu. Cuma nak melahirkan sedikit rasa terkilan terhadap rakan-rakan sekerjaku terhadapku sepanjang mesyuarat itu.

Masa di Hotel Plaza hari tu, aku diletakkan bersama seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran dalam satu bilik. Bila dah ditempatkan bersama cikgu berkenaan, tak dapatlah aku berinteraksi dan bertukar-tukar cerita dengan rakan-rakan guru dari pendidikan khas masalah penglihatan yang aku kenalai. Di mesyuarat itu, akulah satu-satunya OKU penglihatan yang hadir. Di mana rakan-rakan sekerjaku? Mereka urusetia. Mereka boleh keluar masuk dewan mesyuarat sesuka hati atas alasan tugas urusetia. Aku terpaksa tunggu dari mula hingga akhir setiap sesi.
Di Grand Con ni pula, rata-rata para pesertanya terdiri daripada guru-guru pendidikan khas masalah penglihatan. Kali ini aku tidak keseorangan. Rakan sekerjaku, Khusaini dan Cikgu Zamri dari JB turut serta terlibat. Kami ditempatkan dalam sebuah bilik untuk tujuan membaca pruf dan thermoform (menduakan bahan Braille secara "mamanaskan"nya). Sekali lagi, aku dibiarkan survive sendiri. Yang banyak membantu ialah cikgu-cikgu tu. Rakan-rakan sekerjaku? Bagai biasalah, Urusetia. Mereka di bilik urusetia. Sepatutnya, di situlah stesen mereka. Tapi pagi tadi (Rabu), 4 orang daripada mereka balik ke pejabat. 2 orang tak balik ke hotel langsung sampai ke akhir sesi petang tadi. Agaknya, kalau aku atau rakan-rakan OKU aku yang berbuat begitu, pasti akan dijaja perbuatan kami itu sepanjang-panjang dan seluas-luas yang mungkin.

Kekurangan kami hanalah keupayaan mata. Dari segi gred jawatan, aku dan Cikgu Zamri DG41. Khusaini pula N22. Kalau kami nak buat apa-apa, kena maklumkan kepada mereka. Tapi kalau mereka pula, boleh buat apa saja hingga ada kalanya tak tahu apa nak dijawab bila pegawai atasan bertanyakan tentang mereka.

Bila difikir-fikirkan, rasa malas nak join mesyuarat-mesyuarat macam ni. Baik duduk kat ofis. Tenang dan tenteram. Hati tak sakit. Jiwa tak bergelora. Fikiran pun tak serabut.

Alhamdulillah. Tengah hari nanti, tamatlah mesyuarat ni. Para peserta akan pulang ke tempat masing-masing. Kalau ada umur, jumpa lagi di lain meshyuarat.

Aku pun dah mengantuk dah ni. Biarlah aku stop kat sini je. Nanti banyak pula nak kena pikul dosa mengata orang. Entah bilalah kami akan mendapat layanhan yang setimpal dengan kemampuan dan keupayaan kami. Huallahu a'lamu bissawab.

Intisari Salah Satu Surah Dalam Al-Quran

Para pembaca sekalian, saya terjumpa rencana ini ketika berkunjung ke laman web Utusan Malaysia, Ahad, 2 Mei yang lalu. Saya tertarik dengan tulisan ini kerana agak jarang mesej seperti dalam tulisan ini dibicarakan lebih-lebih lagi secara terbuka dan umum di media cetak perdana seperti ini. Semoga ada pengajaran yang dapat diambil daripada tulisan ini.

Selamat membaca.

Utusan Malaysia
BICARA AGAMA

ARKIB : 30/04/2010
Allah menegur perbuatan Rasulullah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI



Manusia yang baik adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

--------------------------------------------------------------------------------



Mukadimah

SURAH ini termasuk dalam surah makkiah. Diturunkan selepas surah al-Najm. Dalam surah terdahulu dinyatakan berkenaan hari kiamat, manakala dalam surah ini pula menceritakan perihal orang yang mengambil manfaat daripada peringatan itu.

Firman Allah SWT: Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta. Ibn Ummi Maktum datang menghadap Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika itu baginda asyik bercakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah anak Rabi'ah, Abu Jahl Ibn Hisham, Abbas Ibn Abd al-Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan al-Walid Ibn al-Mughirah untuk diajak kepada Islam, diberi peringatan tentang kedatangan hari kiamat, kekuasaan Allah SWT dan diharapkan sebagai orang yang akan menerima balasan baik jika menganut Islam.

Rasulullah SAW amat mengharapkan agar seruannya itu diterima kerana baginda mengetahui andainya mereka menganut Islam pasti ramai yang akan mengikut mereka.

Ini kerana kuasa kepimpinan bangsa Arab terletak di tangan mereka. Ketika baginda asyik bercakap-cakap, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah, katanya: "Ya Rasulullah, bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada tuan".

Berulang kali ucapan itu disampaikan tanpa dia mengetahui kesibukan baginda bersama-sama tokoh kaum yang sedang berbicara sehingga baginda berasa tidak senang hati apabila percakapannya disampuk dan nampak rasa kurang selesa pada raut wajah baginda lalu berubah mukanya menjadi masam lantas ia berpaling.

Firman Allah SWT: Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Tahukah engkau barangkali hati lelaki akan disinari nur Allah yang akan mengubahnya menjadi rumah nur yang sentiasa menerima nur dari langit?

Kebajikan ini akan menjadi kenyataan apabila ada hati yang membuka pintunya untuk menerima hidayah dan apabila hakikat iman terpacak kukuh di dalam hatinya. Inilah persoalan agung dalam neraca pertimbangan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran). Maka Engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal Engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).

Ibn Kathir berkata: Engkau tidak dituntut melakukan hal tersebut jika ia tidak membersihkan dirinya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang segera datang kepada-Mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Al-Maraghi berkata: Ternyata engkau mengabaikan permintaannya.

Firman Allah SWT: Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Wasiat ini berlaku sama kepada seluruh umat manusia dalam menyampaikan ilmu baik antara orang mulia mahupun orang yang hina.

Qatadah dan al-Suddi mengatakan: Iaitu al-Quran. Ini bagi yang sentiasa mengingati Allah.

Firman Allah SWT: (ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), (terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz (malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

Al-Maraghi berkata: Peringatan itu telah dicantumkan dalam kitab Allah SWT yang mulia lagi tinggi, suci dari sebarang kekurangan, tidak bercampur dengan unsur-unsur kesesatan dan diturunkan kepada nabi melalui para malaikat, kemudian peringatan itu diteruskan kepada seluruh manusia.

Penutup

Syed Qutb berkata: Ayat-ayat al-Quran itu mulia dalam semua pertimbangan dan mulia dalam suhuf-suhufnya. Ia dijunjung tinggi dan suci.

Ia diserahkan kepada utusan-utusan para malaikat ang tertinggi, mulia dan taat setia untuk dikirimkan kepada para rasul yang terpilih di bumi supaya disampaikan kepada penghuni-penghuninya.

Itulah sifat malaikat yang mulia dan taat setia. Ayat-ayat itu amat mulia dan suci dalam segala perkara yang dibicara dan disentuh olehnya.

Ayat-ayat tersebut sungguh mulia dan tidak ditawarkan kepada orang-orang yang enggan menerimanya dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak memerlukannya. Ia untuk orang yang mengiktiraf kemuliaannya dan mahu membersihkan diri dengannya.

Penjelasan ayat ini merupakan neraca Allah untuk pertimbangan manusia dan kedudukan mereka dan hanya Dia yang mampu mengatur segala-galanya.

14 January, 2010

Cincin

Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Bulat muafakat bersimpul muktamat
Bulat muktamat berikat tanda.

Bermula merisik
Lalu bertunang
Lalu bersatu dalam restu wali
Ada cincin tanda dijari
Lalu belayarlah mengharung ombak dan badai
yang tidak menjanjikan kebahagiaan.

Pabila dilanda gelora
Dihempas badai menggila
usah lupa pada tanda di jari
Kerana di situ terpahat erti kesetiaan
Kesinambungan kasih sayang dan kehidupan.

Kursus Biro Tatanegara - Jangan Tak hadir!

Aku mula berkhidmat dengan kerajaan pada tahun 1990. pada ketika itu, aku adalah penjawat awam dalam kumpulan sokongan. Gelaran jawatanku ialah Penolong Pegawai. Setelah 12 tahun berlalu, aku berpeluang menjawat jawatan dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional pula. Pada tahun 2002, aku melapor diri sebagai seorang pendidik di salah sebuah sekolah menengah di ibu kota.

Sebagai kakitangan awam yang baru dilantik pada waktu itu, aku telah diarahkan untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang, Selangor daripada 24 hingga 28 Februari, 2005. Kursus ini adalah untuk para penjawat awam daripada kumpulan pengurusan dan profesional dan sokongan yang belum disahkan dalam jawatan atau mereka yang sudah sah tapi belum cukup tempoh 3 tahun perkhidmatan. Aku tidaklah berhasrat nak menceritakan isi kandungan kursus tersebut. Sekadar ingin berkongsi pengalaman tentang perjalananku yang agak mencabar dan suspense semasa mencari kem tempat kursus tersebut dengan para pembaca sekalian khususnya para penjawat awam oku penglihatan. Manalah tahu, mungkin kalian akan dipanggil menghadiri kursus di kem berkenaan kelak.

Kami dikehendaki membawa keperluan-keperluan tertentu untuk kursus tersebut seperti kasut sukan, kemeja putih berlengan pendek dan kemeja T putih berkolar dan berlengan pendek. Untuk membeli keperluan-keperluan tersebut, kenalah tunggu hari gaji. Kebetulan, hari gaji pada bulan itu ialah pada 24 Februari. Sebelum bertolak, aku singgah dahulu di salah sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah sebelah Kompleks Kotaraya untuk membeli kasut sukan, kemeja dan kemeja T. Masa tu dah pun jam 4 petang. Masa yang ditetapkan untuk pendaftaran ialah daripada jam 2.30 hingga 4.30 petang. Aku tawakkal sajalah. Yang penting aku berusaha untuk pergi juga menghadiri kursus itu.

Setelah mendapat apa yang aku perlukan, aku pun mulalah melangkah menghala ke Hentian Bas Puduraya. Seorang lelaki telah membantu melintaskan aku ke sebelah yang bertentangan dengan Kompleks Kotaraya. Di situ, seorang amoi pula telah mengambilalih memimpinku sampai ke Puduraya.

Setelah bertanya-tanya, kami masih belum mendapat jawapan yang dicari-cari. Kemudian baru aku perasan kesilapanku. Aku nak pergi ke Sepang. Tapi aku bertanyakan bas ke Kajang. Pattutlah jawapan yang diterima tidak seperti yang dimaklumkan kepadaku. Rupa-rupanya, memang betul. Tangga platform ke Sepang itu memang tidak berapa jauh daripada kaunter syarikat bas Trans Nasional. Amoi tu sungguh tenang dan sabar sekali melayan kerenahku. Mujurlah aku juga mampu mengawal perasaanku semasa mencari-cari bas itu.

Bila dah jumpa tangga platform itu, salah seorang petugas Syarikat Bas Trans Nasional mengambil alih tugas memimpinku. Aku pun mengucapkan terima kasih kepada amoi yang sungguh baik hati tu.

Pukul 5.30, bas ke Sungai Pelek pun beredar daripada Puduraya memulakan perjalanannya. Di dalam bas, aku duduk di belakang pemandu. Aku tak risau apa-apa sebab telah dimaklumkan bahawa Sungai Pelek adalah perhentian terakhir bas ini. Aku dikenakan tambang sebanyak RM2.40 iaitu tambang seperuh harga. Aku sampai di Sungai Pelek pada jam 7.15 malam. Aku perlu menaiki bas Banting pula untuk meneruskan perjalanan ke Kem Bina Negara itu.

Jam menunjukkan pukul 7.30 malam. Bas yang kutunggu belum muncul-muncul lagi. Dalam menunggu itu, terasa juga nak cari makanan tapi tak tahu kedai makan kat mana pulak. Sekali-sekala deria penciumanku ada mengesan aroma makanan sedang digoreng tapi tak kedengaran pula bunyi dentingan senduk dan kuali.

Pukul 8.15 malam. Aku disapa oleh seorang pemuda. Setelah mendapat tahu aku sedang menunggu bas Banting, dia mempelawaku minum di kedainya dulu kerana dia rasa bas tu dah habis dah. Aku menurut pemuda berkenaan ke kedai makan yang rupanya terletak hanya di belakangku saja. Aku memesan air limau ais dan Nasi Goreng Pataya. Salah seorang ahli keluarga tuanpunya kedai itu telah menawarkan khidmatnya untuk menghantarku ke kem tersebut. Sambil kami berbual-bual, tiba-tiba bas sampai. Setelah membungkus makanan dan minumanku, aku pun dipimpin ke bas itu.

"Berapa harga air dan nasi goreng ni?" aku bertanya.

"Tak mengapalah. Tak payah bayarlah." Makcik tu menjawab.

Aku mengucapkan terima kasih kepada makcik, tuan punya kedai makan itu.

Settelah bertanyakan berapa tambang perjalanan ke kem itu, aku meminta agar pemandu itu memaklumkan kepadaku bila dah sampai nanti. Tambangku kali ini ialah sebanyak RM1.20. Tapi pemandu tu tak kutip pun. Bila dah sampai, dia kata tak payah bayar. Setelah bertanyakan arah kem itu, aku mengucapkan terima kasih dan mulalah melangkah mencari jalan masuk ke kem itu.

Berdasarkan maklumat yang aku perolehi menerusi perbualan telefon dengan salah seorang petugas kem tersebut, kem berkenaan terletak tidak jauh daripada jalanraya, katanya. Aku pun mula menyusur di sebelah kiri lorong masuk itu. Lima minit sudah aku berjalan masih tak jumpa simpang atau pintu pagar lagi. Aku berhenti sejenak. Aku ketuk tongkatku sekuat-kuatnya ke atas tar jalan untuk mendapatkan pantulan bunyi bangunan. Tapi tak ada pula pantulan bunyi yang ketara dan meyakinkan. Sedang aku berdiri seketika sambil memikirkan apakah tindakanku seterusnya, tiba-tiba aku terdengar bunyi suara anjing menyalak. Sayup bunyinya. Tapi bukan bunyi salakan yang panjang. Salakan biasa saja tapi lebih dari seekor. Lebih kurang satu minit ada barangkali anjing-anjing itu menyalak. Setelah salakan itu berhenti, tak semena-mena kedengaran pula sayup-sayup bunyi tiupan wisel. Kalau salakan anjing tadi kedengaran jauh di depanku, bunyi wisel itu kedengaran di sebelah kananku. Memang tak ada apa-apa atau siapa-siapa di situ masa tu kecuali aku. Di belakangku masih dapatku dengar bunyi enjin kenderaan bersimpang-siur di jalanraya.

"Ya Allah, janganlah terjadi apa-apa kepadaku. Lindungilah aku." Aku berdoa dalam hati. Lebih-lebih lagi bila teringat malam itu adalah malam Jumaat. Jam ketika itu menghampiri ppukul 9 malam.

Aku memutuskan untuk berjalan di sebelah kanan lorong itu pula. Mungkin tiupan wisel tadi adalah untuk memberitahuku bahawa kem tersebut berada di sebelah kanan lorong itu.

Setelah melintas ke kanan, aku berjalan ke hadapan lagi sambil menyusuri rumput di tepi lorong itu. Lima minit berlalu. Aku masih belum jumpa apa-apa mercu tanda kem itu. Setelah merasakan jalan raya semakin jauh, aku memutuskan untuk berpatah balik dan berjalan ke arah jalan raya semula.

Aku dah hampir putus asa. Aku dah nak dapatkan teksi untuk pulang semula ke KL. Sedang aku termangu-mangu itu, tiba-tiba kedengaran kereta berhenti. Salah seorang penumpang kereta itu turun lalu menyapaku. Setelah dimaklumkan tentang kehadiranku di situ untuk menghadiri satu kursus, dia mempelawaku menaiki Land Rover tersebut. Rupa-rupanya, mereka adalah anggota Pasukan Gerakan Am (polis) yang dalam perjalanan menghantar bekalan air ke satu kawasan yang telah keputusan air. Hampir lima minit juga perjalanan kami menuju kem itu. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga aku ke kem berkenaan.

Setelah aku diserahkan kepada petugas kem berkenaan, aku dibawa ke dewan makan. Di situ, aku makan makanan yang telah dibungkuskan untukku ttadi. Nasib baik ada makanan itu. Kalau tidak, memang kena tunggu pagi esoklah jawabnya untuk makan.

Aku kemudiannya dibawa masuk ke dewan untuk mendengar taklimat kursus. Aku bercadang untuk menelefon orang rumahku di bilik asrama setelah tamat taklimat tersebut. Malangnya, liputan rangkaian telefon bimbit di bilik asrama tidak memuaskan. Kalau nak membuat panggilan, kena pergi ke tempat atau bahagian lain di kem itu selain dari asrama. Oleh sebab malas nak menyusahkan orang, aku memutuskan untuk menelefon orang rumahku esok saja.

Bagaimanapun, dua kali telefon bimbitku berdering. Tapi belum sempat aku menjawab, panggilan berkenaan telah terputus. Ini membuatkan orang rumahku benar-benar risau. Dia telah memaklumkan kepadaku tengah hari esoknya ketika aku menelefon dia dalam perjalanan pulang dari sembahyang Jumaat. Dia menelefon adikku di Kedah; dia menelefon pejabat sekolahku dan akhirnya dia menelefon pejabat Biro Tatanegara di Putrajaya. Barulah dia mendapat tahu tentang keadaanku yang telah selamat sampai malam tadi.

Aku sungguh bersyukur kerana ttelah dilindungi daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini. Aku telah mampu mengikuti kursus tersebut hingga akhir. Semua program aku sertai kecuali aktiviti-aktiviti riadah dan kembara (jungle-tracking). Pada 28 Februari, aku menumpang salah seorang rakan sebilikku yang juga kebetulan rakan sekumpulan denganku semasa berkursus di kem itu. Aku telah dihantar ke stesen komuter di Nilai. Aku kemudiannya menaiki Komuter hingga stesen Kl Sentral dan tiba di rumah semula lebih kurang jam 6 petang.

Kepada para penjawat awam oku penglihatan, seandainya kalian diarahkan untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang, eloklah naik bas ke Sungai Pelek. Kemudian, ambillah teksi. Rupa-rupanya kem itu adalah 1 km daripada simpang tempat bas berhenti. Aku mengetahui hal ini kerana para peserta kursus dikehendaki berlari sejauh 2 km. Salah seorang jurulatih memberitahuku bahawa jarak 2 km itu ialah daripada kem sampai ke tempat bas berhenti dan kemudian kembali semula ke kem. Patutlah aku tak jumpa sebarang mercu tanda kem tersebut semasa tengah tercari-cari pada malam Jumaat itu.

Kem itu sebenarnya baru saja beroperasi sejak bulan September 2004. Itulah kali pertama mereka menerima seorang peserta oku untuk berkursus. Keseluruyhannya, mereka telah berusaha memahamiku dan memberikan layanan yang terbaik dan termampu mereka berikan. Suasana di kem tersebut juga agak mesra oku penglihatan. Tak banyak anak tangga dan longkang. Cuma ia terletak 1 km daripada jalan raya. Makan-minum semasa kursus SUNGGUH MEMUASKAN.

Syukurlah kerana aku telah berjaya lulus dalam ujian yang diadakan pada akhir kursus tersebut. Kini aku sudah tidak lagi bergelar pendidik. Aku telah berhijrah dari sekolah ke pejabat semula dan menjawat jawatan sebagai penolong pengarah.

12 November, 2009

PENGGUNAAN BRAILLE DI MALAYSIA: SATU TINJAUAN

Sistem tulisan Braille telah bertapak di Malaysia sejak sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Ia diperkenalkan oleh para mubaligh Kristian apabila mereka membuka sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan - Sekolah St. Nicholas. Sekolah tersebut yang dibuka di Melaka pada tahun 1926 telah berpindah ke Pulau Pinang enam tahun kemudiannya. Sejak itu, ramai bekas pelajarnya telah berjaya mendapat pendidikan formal dan seterusnya memperolehi pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan akademik mereka.

Institut Perguruan Ilmu Khas di Cheras adalah antara institusi yang dipertanggungjawabkan untuk melatih bakal guru pendidikan khas untuk pelajar-pelajar bermasalah penglihatan. Pada masa ini, selain dari institut berkenaan, terdapat beberapa buah lagi institusi pengajian tinggi yang turut menyediakan latihan kepada bakal guru untuk ditempatkan di sekolah-sekolah pendidikan khas untuk pelajar-pelajar bermasalah penglihatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Dari segi penghasilan bahan Braille pula, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) merupakan satu-satunya badan yang mengusahakan pengeluaran buku-buku Braille khusus untuk bacaan umum pada satu ketika. Sekolah St. Nicholas di Pulau Pinang dan sekolah Puteri Elizabeth di Johor Baru juga ada menghasilkan bahan-bahan dalam tulisan Braille tetapi hanyalah untuk kegunaan murid-murid mereka sahaja.

Awal dekad lapan puluhan menyaksikan Kementerian Pelajaran Malaysia menubuhkan unit percetakan Braillenya sendiri. Unit ini yang pada ketika itu beroperasi di premis Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, telah mengambil alih percetakan buku-buku teks Braille yang selama ini diusahakan oleh MAB.

Pada pengamatan saya, bertitik-tolak dari penubuhan unit inilah yang telah membawa kepada beberapa kekeliruan dan kecelaruan dalam penggunaan Braille di negara ini. Unit ini seperti seolah-olah ingin lari daripada amalan-amalan konvensional selama ini. Antara contoh pembaharuan yang agak ketara adalah pengenalan baris kosong pada baris kedua setiap halaman buku Braille.

Jumlah baris pada satu-satu halaman Braille ialah 25. pada ketika itu, buku Braille dicetak menggunakan kertas Braillon. Baris pertama ialah baris yang mengandungi maklumat mengenai nombor halaman cetak, nombor halaman Braille dan tajuk bab atau pelajaran. Amalan selama ini ialah menggunakan 24 baris yang selebihnya semaksima mungkin untuk menulis kandungan sesebuah buku itu. Apabila baris kosong diperkenalkan pada baris kedua setiap halaman, jumlah baris yang boleh digunakan untuk halaman tersebut menjadi 23. ini bererti, jumlah baris pada satu-satu halaman sudah berkurangan dan buku Braille itu pun menjadi lebih tebal.

Dari segi penyelarasan pun, seperti tiada kata sepakat antara badan-badan yang terlibat dalam menghasilkan bahan-bahan Braille. Badan kerajaan dan badan bukan kerajaan menggunakan format masing-masing dalam menghasilkan bahan Braille.

Di pihak kerajaan, setelah unit Braille Kemanterian Pelajaran dibubarkan sekitar pertengahan tahun sembilan puluhan, penerbitan buku teks Braille menjadi seperti tidak terurus. Pada satu ketika, Jabatan Pendidikan Khas terpaksa menganjurkan bengkel-bengkel untuk membraille buku teks yang melibatkan para guru pendidikan khas untuk pelajar-pelajar bermasalah penglihatan.

Dari segi penyediaan kertas soalan untuk peperiksaan awam pula, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah dipertanggungjawabkan untuk menyempurnakan tugas ini. Setelah menyertai LPM pada bulan Oktober, 2005, saya dapati para pegawainya agak ketinggalan dalam penggunaan Barille masa kini. Bila saya cuba menegur kesalahan mereka dalam penggunaan Braille, salah seorang daripada mereka telah mempersoalkan sama ada terdapat arahan dalam pekeliling atau memo yang memperincikan perubahan pada penggunaan Braille seperti yang saya sarankan itu.

Sebaliknya, di pihak badan bukan kerajaan pula, MAB tetap berperanan menerbitkan buku-buku Braille untuk bacaan umum. Sekitar tahun sembilan puluhan, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) telah menubuhkan Percetakan Braillenya sendiri. Kedua-dua badan bukan kerajaan ini sentiasa mengikuti perkembangan penggunaan Braille yang terkini khususnya tentang penambah-baikan yang dilakukan di Britain.

Pengenalan teknologi maklumat khususnya teknologi Braille menggunakan komputer telah membawa perubahan yang sungguh drastik dalam penerbitan bahan Braille di negara ini. Malangnya, semua usaha ini banyak dipelopori oleh badan-badan bukan kerajaan. Mereka telah mengambil daya usaha yang pro-aktif di dalam membawa masuk dan memperkenalkan perisian-perisian yang khusus yang berkaitan dengan penghasilan bahan Braille menggunakan komputer seperti Malay Braille Translator dan Duxbury. Di atas inisiatif mereka juga, pencetak Braille yang dikenali sebagai embosser telah dibawa masuk.

Meskipun demikian, penggunaan Braille menerusi komputer ini juga telah sedikit sebanyak menambah kepada kecelaruan yang ada. Dalam Kod Braille Bahasa Melayu misalnya, huruf besar digunakan hanya pada nama khas. Tetapi apabila dihasilkan menerusi komputer, penggunaan huruf besar itu sudah sama seperti penggunaan dalam tulisan cetak. Dalam edisi pindaan Kod Braille Bahasa Melayu yang telah diterbitkan pada tahun 2004, tidak pun dinyatakan tentang perubahan peraturan penggunaan tanda huruf besar itu.

Braille Authority of United Kingdom (BAUK) di Britain, adalah sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap semua perkara yang berkaitan dengan penggunaan Braille khususnya Braille Bahasa Inggeris. Badan ini telah beberapa kali merombak dan meminda sistem tulisan Braille Bahasa Inggeris itu. Bukan setakat kod singkatannya sahaja tapi juga terdapat penambahan tanda/simbol Braille yang baru. Malangnya badan sedemikian tidak terdapat di negara ini. Ini menyebabkan kita tidak ada tempat untuk merujuk tentang penggunaan Braille baik Braille Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Jawi, matematik, sains dan sebagainya.

Sudah sampailah masanya untuk kita sama-sama fikirkan tentang keperluan mewujudkan badan seperti ini. Badan itu nanti hendaklah dianggotai oleh pakar-pakar Braille yang datang dari agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan. Mungkin Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) di pihak bukan kerajaan dan Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia boleh mengambil daya usaha pro-aktif ke arah penubuhan badan ini di negara kita.

Antara objektif badan ini ialah:
1. Menjadi badan rujukan kebangsaan yang tunggal terhadap penggunaan Braille di negara ini.
2. menyeragamkan penggunaan Braille di kalangan para pengguna Braille baik di pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan.
3. Menjadi platform untuk para pakar Braille berkumpul dan bertukar-tukar fikiran mengenai penggunaan Braille di negara ini.
4. Mewakili negara dalam apa-apa persidangan, bengkel atau seminar mengenai penggunaan Braille yang dianjurkan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Itulah antara idea yang dapat saya lontarkan pada masa ini. Adalah diharapkan, semoga penubuhan badan ini akan menjadi kenyataan suatu hari dan penggunaan Braille di negara ini juga menjadi lebih seragam dan berkualiti.