12 May, 2010

Piala Thomas Datang Lagi

Buat ke sekian kalinya, kejohanan Piala Thomas, antara pertandingan yang agung dan paling prestij bagi sukan badminton datang lagi. Tahun ini menyaksikan negara kita menjadi tuan rumah kepada kejohanan itu. Apakah kita akan berjaya memenangi piala itu pada hari Ahad ni? Sama-samalah kita tunggu.

Aku mula didedahkandengan kejohanan ini pada tahun 1970. Ketika itu aku terlantar di Hospital Pualau Pinang kerana menjalani pembedahan mata kiriku yang terpaksa dibedah akibat satu kemalangan ketika aku dan rakan-rakanku sedang bermain kejar-kejar di sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang. Sebulan aku terlantar di sana. Biji mata kiriku terpaksa dikeluarkan akibat daripada perlanggaran trajis itu. Maka bermulalah kehidupanku sebagai seorang buta sepenuhnya.

Ketika itu, aku masih belum miliki radio sendiri lagi. Mr. Brohier, guru besar pada masa itu, sangat prihatin denganku. Beliau antara yang kerap menziarahiku. Aku dalam darjah 2. Hari-hari ada saja rakan-rakan yang datang melawatku di hospital - baik yang sekelas, yang kelas lain mahupun yang senior. Adikku, Cikgu Shimah yang baru kelas tadika, paling kerap dibawa melawatku. Mr. Brohier, di samping membawa rakan-rakan, juga turut membawa buku untuk kubaca semasa di wad.

Satu hari, beliau datang melawatku bagai biasa. Kali ini membawa sebuah radio kecil. Radio ini adalah milik selah seorang rakan seniorku di sekolah tu. Menerusi radio inilah aku mula kenal radio - stesen-stesennya, radio pendidikan, ulasan sukan dan yang sewaktu dengannya.

Kebetulan, pada waktu itu, sedang berlangsung kejohanan Piala Thomas di Jakarta. Mulanya, boring juga aku. Tiap malam ada ulasan pertandingan Piala Thomas. Pada masa tu, pertandingan dijalankan selama dua hari - 5 perlawanan di hari pertama dan 4 lagi pada keesokannya. Aku sendiri pun tak tahu apa benda badminton tu. Yalah! Aku sudahpun bersekolah di sekolah khas. Manalah orang buta main badminton! Bola adalah. tupun yang diubah suai. Bila malam je, buka radio ada badminton. Rasanya, masa dah masuk suku akhir baru aku mula faham permainan tu. Aku pun dah makin berminat dan bersemangat mengikuti pencapaian pasukan negara kita. Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan aik Kwang, Tan Aik Mong dan beberapa nama lagi adalah pemain pasukan kita. Kalau tak silap, negara kita berjaya masuk pertandingan akhir bertemu dengan Indonesia. Masa tu, China belum join lagi.

Dalam keseronokan dan keghairahanku menunggu perlawanan akhir itu, tiba-tiba, Mr. Brohier datang memaklumkan bahawa rakanku itu nak radionya balik sebab dia pun nak dengar perlawanan akhir juga. Terpaksalah aku melepaskan radio itu kembali kepada tuannya dengan rasa sedih dan berat di hati. Keesokannya, aku pun bertanyalah kepada jururawat dan mereka yang datang menziarah tentang keputusan perlawanan akhir itu.

Pada tahun 1994 pula, Piala Thomas datang lagi dengan kenangan lain pula. Kali ini, anak sulungku, Izzat,terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat melecur terkena air panas. Kejohanan tu pun berlangsung di Jakarta juga. Izzat baru 2 tahun lebih. Dah merasai pengalaman terlantar di wad. Tak tahulah dia ingat ke tidak. Tapi tak lama. lebih kurang 5 hari je. Pada hari ke-5 tu, dia demam. Sebelum keadaan bertambah teruk, kami minta untuk bawa pulang Izat ke rumah. Cabaran pada kami ialah untuk membuka dan membalut semula balutan pada kaki kanan Izzat. Dia melecur dari peha hingga ke belakang betis.

Setelah dua minggu tak berapa nampak perubahan yang ketara, kami memutuskan untuk menamatkan saja rawatan di pusat perubatan tu dan beralih ke klinik swasta. Baru kami tahu bahawa anak kami sebenarnya telah dijadikan bahan uji oleh doktor terbabit. Mana ada orang balut kesan akibat melecur? Biasanya kesan itu didedahkan agar ia terdedah kepada udara dan cahaya matahari. Kali ini, barulah nampak kesannya.

Pada tahun berkenaan, negara kita sedang mempertahankan piala yang baru dimenangi pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Malang, kita tumpas di Jakarta. Provokasi peminat fanatik di Jakarta juga adalah antara penyebab kegagalan kita.

Di tahun 2010 ini, aku terkilan juga kerana tiada stesen radio yang membuat ulasan selari kejohanan ini. Radio Klasik Nasional membuat lintas langsung masa Arena Sukan. Radio Bernama membuat lintas langsung semasa waktu beritanya. Hot FM pun membuat lintas langsung ikut suka dia, menyelit antara lagu dan bacaan sms daripada pendengar. BFM (Business FM) ada menyiarkan lintas langsung perlawanan bola sepak English Primeer League pada hujung minggu. Tapi tak buat lintas langsung untuk kejohanan besar ini walaupun dilangsungkan di negara sendiri.

Di negara kita, senarionya seolah-olah para pengulas sukan seperti sudah tidak lagi berperanan. Ini berbeza sekali dengan negara luar. Badan Penyiaran British (BBC), masih menyiarkan ulasan perlawanan sukan seperti bula sepak, tenis, kriket dan lain-lain lagi. Malah, mereka mempunyai satu stesen radio untuk sukan - Radio 5. Apakah radio hanya untuk mendengar lagu dan lagu dan lagu saja?

Besnya kalau radio dapat kembali mengambil peranannya sebagai media pengetahuan dan maklumat di samping hiburan seperti dulu-dulu. Saddisnya!!!

No comments: