21 September, 2010

Cerita Raya 2010

Lebih kurang empat bulan aku tidak update blog ni. Rasanya ramai dah bosan nak tunggu cerita baru daripada blog aku ni. Sejak main Facebook ni, banyak masa terpaksa diperuntukan untuk dia. Orang baru main FB. Banyak yang perlu diteroka. Akibatnya agak terabailah sikit blog ni. Namun, jauh di sudut hati nubari ni, tetap ada ingatan untuk update blog ni.

Mungkin kisah rayaku tahun ni boleh aku kongsi dengan kalian. Taklah menarik mana pun. Tapi ada beberapa insiden yang telah terjadi bukan atas perbuatan dan perlakuanku tapi telah pun terjadi.

Orang rumahku beriya-iya nak balik kampung dia dengan bas meskipun aku dah terangkan bahawa dengan keretapi lebih jimat sebab anak-anak boleh dapat tambang konsesi sebagai pengiring.

Nasib menyebelahi kami kerana dapat juga aku mendapatkan tiket bas tambahan pergi dan balik ke Jerteh, Terengganu. Kami balik pada malam 8 September menaiki bas tambahan Ekspres Perdana. Bas pukul 10 tapi pukul 11.10 baru bas tu sampai di Hentian Putra. Tidak ada harga konsesi untuk OKU. Harga tiketnya pun lebih mahal sikit. Bas tambahanla katakan! Kul 11.22 baru bas bertolak. Kami sampai di Jerteh kul 9.45 pagi esoknya. Memang lari dari waktu yang dijadualkan untuk kami sampai.

Pada malam raya ketiga (12 September), kami bersalaman dengan keluarga abang iparku buat kali terakhir untuk menaiki bas pulang ke KL. Kali ini, bas Trans Nasional dua tingkat. Harga tiket dia pun mahal sikit. Anak-anakku kena RM59.90 seorang sementara aku dan isteri Rm49.90 seorang. Bas dijangka sampai kul 10.15. Kul 11.30, ada sebuah bas dua tingkat berhenti. Tapi yang tertera ialah City Liner. Kul 12 malam, anak-anak saudara (sebelah orang rumahku) bertanya pada petugas di stesen bas tu. Kata petugas tu, bas kami dah datang kul 11.30 tadi. Bas City Liner tulah bas kami. Rupanya, Trans Nasional menyewa bas tu sebagai bas tambahan untuk raya ni. Yang jadi haru-biru tu sebab Trans Nasional tu kecil je tulisan dia. Tu yang tak perasan tu. Apa lagi yang mampu kami buat melainkan berpatah balik semula ke rumah abang iparku untuk bermalam satu malam lagi.

Pagi esoknya, (Isnin, 13 September), anak-anak abang iparku berikhtiar dan berusaha untuk melihat di internet kalau-kalau ada lagi tiket untuk kami balik ke KL. Alhamdulillah, masih ada lagi tiket keretapi. Abang iparku meminta salah seorang kawan kepada anaknya untuk membeli dulu tiket tu. Memanglah beli dengan harga penuh sebab macam mana nak bagi segala dokumen yang diperlukan untuk tujuan mendapatkan harga konsesi tu.

Kul 12 tengah hari, kami sekali lagi menaiki dua buah kereta untuk ke stesen KTM Wakaf Baru. Kami sampai kul 2.40 dan singgah makan di salah sebuah kedai makan di situ.

Selesai makan, abang iparku dan anak-anaknya pun balik. Tinggallah kami menanti keretapi ke KL. Alhamdulillah, lebih kurang kul 7 malam, kami pun menaiki keretapi pulang ke KL. Tercapai juga hasrat anak-anakku untuk naik keretapi. Nasib baik abang iparku tolong sponsor. Kalau tidak, tak tahulah macam mana kami nak balik. Tiket bas Trans Nasional tu memang burn la!

Aku pula merancang untuk balik beraya di Kedah sekembalinya aku daripada Terengganu. Tiket keretapi aku dah beli pada Isnin tu. Tapi terpaksa burn juga tiket tu disebabkan perjalanan pulang kami yang tertunda tu.

Sesampainya di KL pada pagi Selasa tu, aku terus ke kaunter tiket KTM di Kl Sentral. Alhamdulillah, masih ada lagi tiket ke Alor Setar pada malamnya. Setelah membeli tiket tu, kami pun menaiki teksi pulang ke rumah.

Pada pagi tu juga, handsetku pulak buat perangai. "Sim card registration fail. Okay." Itulah mesej yang tertera dan dibacakan oleh Talx kepadaku pagi tu. Apa hal lak ni! Aku langsung tak boleh buat dan terima panggilan/sms. Ini tak boleh jadi ni. Aku mesti ke Celcom juga untuk menukar kad sim aku. Alhamdulilah, aku tidak menghadapi masalah untuk ke Celcom dan untuk menukar kad sim yang baru.

Malam tu, anak perempuanku menolong menahan teksi untukku ke KL Sentral. Alhamdulillah, tercapai juga hasratku untuk pulang beraya di Kedah pada tahun ni. Tapi dua hari je. Hari Rabu, hujan hampir sepanjang hari. Namun, dapat juga aku beraya di Simpang Empat dan Kubur Panjang. Hari Khamis, cuaca cantik sekali. Aku dapat beraya di 6 buah rumah di sekitar Sungai Petani dan Mergung sebelum berangkat semula pulang ke KL dengan keretapi pada malamnya.

Itu cerita aku beraya di kampung orang rumah dan kampungku. Di rumah kami di KL pun tak kurang juga insidennya. Pada malam Selasa tu, baru kami perasan yang tiga lampu di ruang tamu tidak berfungsi. Apa yang perlu dibaiki pun tak tahu - starterkah, mentolkah atau wayarnyakah!

Sejak semalam, orang rumahku menyuarakan rasa kurang senangnya atas bau gas yang agak ketara di dapur. Anak sulungku membuat ujian untuk mengenal pasti kalau-kalau ada kebocoran pada saluran gas tu tapi tak jumpa pun kebocoran tu. Barangkali kepala gas kot. Betul pun. Setelah Aku ganti kepala yang baru, dah tak ada lagi bau gas tu.

Aku masih lagi bercuti hingga Khamis ni. Mulanya ingat nak join Persidangan Pemulihan OKU di PWTC tu. Tapi aku tak pun berikhtiar untuk mendaftar menghadiri persidangan tu. Cadang nak mula puasa nam. Tapi tak start lagi pun.

Begitulah serba sikit apa yang aku lalui pada raya 2010 kali ini. Apapun, aku seronok sebab dapat beraya di kedua tempat pada tahun ni. Mudah-mudahan, tahun depan pun aku dapat beraya di kedua-dua tempat juga macam tahun ni.

No comments: