Apabila seseorang itu hilang salah satu panca
inderanya, panca inderanya yang lain akan menjadi lebih peka dan aktif. Bagi golongan OKU penglihatan, hujung jari
akan menjadi lebih peka. Malah, dalam banyak
hal, ia berperanan seperti mata.
Sebelum saya berbicara lebih jauh, elok rasanya
sekiranya saya membuat sedikit takrifan agar hala tuju tulisan ini nanti tidak
tersasar dan kemudiannya disalah ertikan pula.
“OKU” adalah singkatan untuk “Orang Kurang Upaya”. Ini adalah sejajar dengan takrif yang
terdapat dalam Akta Orang Kurang Upaya yang telah diluluskan oleh Parlimen
negara kita dan telah diwartakan pada tahun 2008. pada masa ini, ada kecendrungan oleh beberapa
pihak untuk menggantikan huruf “K” yang mewakili “kurang” dengan “kelainan”.
Sebenarnya, apapun istilah yang dipakai, kami tetap “kurang” dan “lain”
kerana memang hakikatnya kami kurang satu panca indera yang menyebabkan kami
tidak sama dengan insan lain.
Bila berbicara tentang OKU penglihatan pula,
golongan ini sebenarnya terdapat dalam dua kategori. Ada
yang masih mempunyai sedikit penglihatan.
Mereka masih boleh melihat cahaya dan objek. Ada
yang masih mampu menulis dan membaca tulisan biasa. Ada
yang perlu menggunakan alat bantu seperti kanta pembesar dan tv litar tertutup
(CCTV). Golongan ini dipanggil golongan
yang berpenglihatan terhad atau rabun.
Satu golongan lagi ialah mereka yang langsung
tidak dapat melihat. Bagi golongan ini,
siang dan malam sama saja. Kalau
kecacatan itu dialami sejak lahir, mereka tidak tahupun apa itu warna,
bagaimana rupa bentuk langit, awan, bintang, bulan dan matahari. Golongan inilah yang diistilahkan sebagai
“buta”. Untuk tujuan tulisan ini, saya
akan fokus terhadap golongan ini. Bagi
maksud itu, OKU penglihatan di sini adalah merujuk kepada golongan ini.
Asas pendidikan seseorang itu ialah menguasai
kemahiran menulis dan membaca serta mengira.
Di negara kita, golongan OKU penglihatan adalah antara kategori OKU yang
agak cemerlang dalam pendidikan. Ramai
yang telah berjaya mendapat tempat di manara gading hingga ada yang berjaya
memiliki ijazah doktor falssafah. Namun,
perjalanan yang terpaksa dilalui oleh individu OKU penglihatan demi menempa
kejayaan sememangnya penuh beronak dan berliku.
Terciptanya satu sistem tulisan yang berasaskan
titik-titik timbul di Perancis pada awal kurun ke-18 merupakan satu titik tolak
bagi golongan OKU penglihatan di seluruh dunia.
Sistem tulisan yang dikenali sebagai Braille yang mengambil sempena nama
penciptanya itu, telah disesuaikan dengan berbagai tulisan dan bahasa di dunia
ini.
Sekolah yang pertama ditubuhkan untuk golongan
OKU penglihatan di negara kita ialah sekolah St. Nicholas. Sekolah ini telah dibuka oleh para mubaligh
Kristian pada tahun 1926 di Melaka dan kemudiannya telah berpindah ke Pulau
Pinang enam tahun kemudian. Pada tahun
1996, sekolah ini sekali lagi berpindah ke Alma, Bukit Mertajam setelah pentadbiran
sekolah tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran.
Pada tahun 1948, sebuah lagi sekolah khusus
untuk murid-murid OKU penglihatan telah dibuka di Johor Baharu.
Pada awalnya, sekolah ini adalah di bawah seliaan badan sukarela. Namun, kini ia juga adalah di bawah
pentadbiran Kementerian Pelajaran.
Murid-murid di kedua-dua buah sekolah ini memang
diajar menguasai tulisan Braille itu sejak dari darjah satu lagi. Mereka didedahkan kepada tulisan ini secara
berperingkat sesuai dengan tahun persekolahan yang mereka lalui. Biasanya, mereka sudah dapat menguasai
tulisan ini di akhir tahap satu semasa di sekolah rendah.
Terdapat dua kaedah (grade) dalam sistem tulisan
ini. Kaedah pertama hanyalah bertumpu
kepada huruf-huruf asas dalam sistem tulisan itu yang biasanya mampu dikuasai
dalam masa yang singkat. Akan tetapi, kaedah
kedualah yang paling mencabar. Dalam
kaedah ini, seseorang perlu mengingat dan menghafal singkatan dan ringkasan
yang bukan sedikit bilangannya. Ia bukan
sahaja terdiri daripada kombinasi dan formasi huruf malah melibatkan penggunaan
simbol-simbol tertentu. Itu belum lagi
mempelajari sistem Braille yang digunakan untuk mata pelajaran matematik. Tulisan Jawi juga mempunyai sistemnya yang
tersendiri.
Pada dasarnya, tulisan Braille terdiri daripada
enam titik timbul yang ditulis menggunakan dua ruang (kiri dan kanan) dan tiga
baris (atas, tengah dan bawah).
Seseorang OKU penlihatan akan membacanya secara sentuhan jari. Sekiranya tulisan tersebut ditulis secara sebelah
muka “single-sided”, ia masih mampu dibaca menggunakan mata. Akan tetapi, masalah akan timbul bila ia
ditulis secara depan-belakang (double-sided).
Satu halaman Braille biasanya mengandungi 26
baris dan 36 aksara. Ini bererti, satu
halaman tulisan teks biasa bersamaan dua halaman Braille. Sebab itulah kaedah dua dalam tulisan Braille
diaplikasikan untuk mengelak daripada buku Braille itu menjadi lebih
tebal. Sebagai contoh, Kamus Dewan (Edisi
Melayu-Melayu, Cetakan 1996) yang tebal itu, apbila ditulis pindah ke dalam
tulisan Braille, ia menjadi 65 jilid dan ditulis secara depan-belakang. Al-Quran pula mencecah enam jilid yang
ditulis secara depan-belakang. Pernah
ada usaha menulis pindah majalah Dewan Masyarakat sekitar tahun 80-an. Pada ketika itu, ia ditulis sebelah muka dan
ketebalannya menjangkau lima
jilid.
Disamping menguasai tulisan Braille, para
pelajar OKU penglihatan juga “membaca” menggunakan telinga. Bahan bacaan akan dirakam terlebih dahulu ke
dalam pita kaset oleh guru atau para sukarelawan. Penghasilan bahan ini lebih cepat berbanding
secara Braille. Ia juga mudah dibawa ke
mana-mana. Seseorang itu hanya perlu ada
alat perakam kaset yang digerakkan menggunakan kuasa elektrik atau beteri untuk
membolehkan dia “membaca” bahan berkenaan.
Inilah kaedah yang digunakan semasa di menara gading memandangkan banyak
bahan yang perlu dibaca dalam ruang waktu yang singkat dan terhad.
Dekad 70-an dan 80-an menyaksikan satu revolusi
dalam teknologi di seluruh dunia apabila komputer diperkenalkan. Kehadiran teknologi ini turut membawa
transformasi terhadap golongan OKU penglihatan.
Kalau selama ini kami ibarat katak di bawah tempurung, kini tempurung
itu sudah hilang. Tiba-tiba kami sudah
boleh melakukan lebih banyak perkara dari sebelum ini. Bukan sekadar di sekeliling kami bahkan sudah
merentas sempadan hingga melampaui bangsa dan negara.
Perisian pembaca skrin (screen-reader software)
telah dicipta dan dibangunkan untuk membantu kami yang tidak mampu membaca apa
yang tertera pada layar monitor komputer.
Tidak terhad kepada komputer sahaja malah, perisian ini turut juga diaplikasikan
dalam peranti-peranti lain seperti telefon bimbit, kalkulator dan jam. Ia dipanggil pembaca skrin kerana ia membaca
dan memaklumkan apa sahaja tulisan teks yang dipaparkan di atas layar monitor
secara audio menggunakan suara elektronik.
Malah, sudah ada yang menggunakan suara manusia pun. JAWS, Window-Eyes, HAL dan NVDA adalah antara
beberapa perisian pembaca skrin yang telah dibangunkan itu yang kebanyakannya
dibangunkan di Barat. Beberapa negara
termasuk negara-negara ASEAN telah berusaha membangunkan perisian khusus dalam
bahasa negara mereka seperti Indonesia,
Thailand dan Vietnam. Akan tetapi, golongan OKU penglihatan di
negara ini masih menunggu dan menanti satu perisian yang bercirikan lenggok dan
gaya sebutan warga Malaysia.
Di Malaysia, golongan OKU penglihatan mula
didedahkan dengan perisian ini apabila jam dan kalkulator bersuara dibawa masuk
daripada Australia
pada lebih kurang awal dekad 80-an. Pada
ketika itu harganya masih agak mahal.
Lama-kelamaan, harganya makin turun apabila perisian ini makin
popular. Kini jam dan kalkulator
bersuara sudah boleh diperolehi di bawah RM50.
Penggunaan komputer di kalangan OKU penglihatan
di negara ini bermula apabila dua orang OKU penglihatan telah ditaja untuk
mengikuti kursus peringkat sijil di Overbrooke
School, Amerika syarikat
pada pertengahan dekad 80-an. Mereka
telah kembali ke negara ini dan telah berkhidmat sebagai tenaga pengajar
komputer di beberapa pusat latihan khas untuk golongan OKU penglihatan. Dari semasa ke semasa, ramai OKU penglihatan
didedahkan kepada teknologi ini. Ini
membolehkan mereka menggunakan komputer di tempat kerja masing-masing.
Teknologi maklumat yang canggih itu juga turut
memperkenalkan dunia siber menerusi internet.
Golongan OKU penglihatan pun turut mengecapi nikmat dan menafaat yang
dibawa oleh teknologi ini. Kami sudah
boleh menghantar dan menerima emel. Kami
pun mampu melayari internet untuk mencari ilmu dan maklumat. Kami juga dapat bertukar-tukar fikiran dan
mencari kenalan di laman-laman sosial seperti Facebook.
Dahulunya, kami terlonjak-lonjak ingin tahu apa
yang dimuatkan dalam akhbar. Kami perlu
menanti rakan kami yang celik untuk tolong membacakan akhbar itu kepada
kami. Dengan perkembangan teknologi
maklumat masa kini, itu semua sudah menjadi sejarah. Kami hanya perlu melayari internet dan
mencari laman-laman sesawang yang sememangnya banyak sekali untuk mendapatkan
berita dan maklumat. Bukan akhbar negara
ini sahaja. Malah, kami boleh memilih
untuk membaca akhbar dari negara mana sekalipun di dunia ini.
Mungkin ada yang terdetik di hati ingin tahu
bagaimana kami menaip di papan kekunci komputer. Sebelum era teknologi maklumat hadir,
sebahagian besar golongan OKU penglihatan telah didedahkan dengan cara dan
teknik menaip dengan betul menggunakan mesin taip. Kami telah diajar dan dilatih menggunakan
kesemua sepuluh jari-jemari kami. Kami
akan meletakkan jari-jemari kami pada baris kekunci a s d f. dengan menjadikan baris kekunci berkenaan
sebagai baris asas, dapatlah kami menaip.
Pada masa itu, kami hanya dapat menaip tetapi tidak dapat menyemak dan
membaca kembali hasil tulisan kami. Kami
terpaksa meminta bantuan rakan-rakan yang celik untuk menyemak hasil kerja kami
itu. Dengan komputer, kami sudah boleh
berdikari. Kami dapat menyunting sendiri
hasil kerja kami mengikut kehendak dan cita rasa kami.
Telefon bimbit adalah satu lagi peranti yang
sangat diminati. Dahulunya ia
dikategorikan sebagai “barang mewah” memandangkan harga untuk memilikinya agak
tinggi. Namun, kini ia sudah menjadi
seperti satu keperluan dalam kehidupan kita.
Bagi golongan OKU penglihatan, fungsi telefon
bimbit pada awalnya hanyalah sekadar untuk membolehkan kami membuat dan
menjawab panggilan. Namun, setelah
perisian pembaca skrin untuk telefon bimbit diperkenalkan dan dibawa masuk ke
negara ini, segalanya berubah. Perisian
ini mula mendapat tempat di kalangan pengguna telefon bimbit OKU penglihatan di
negara ini sekitar lebih kurang 10 tahun yang lalu. TALX dan Mobile Speak adalah antara perisian
yang berkenaan yang juga dibangunkan di barat.
Kalau sebelum ini, telefon bimbit tidak lebih daripada peranti untuk
membuat dan menjawab panggilan sahaja, namun, dengan adanya perisian ini, kami
sudah boleh menguasai isi kandungan telefon bimbit itu. Kami sudah mampu mengemas kini rakan kenalan
sendiri. Kami sudah berupaya membuat
catatan harian. Kami sudah boleh
memasang penggera untuk mengejutkan kami pada waktu pagi. Yang paling menggembirakan lagi, perisian ini
membolehkan kami turut menikmati keseronokan berbalas-balas pesanan ringkas
menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Namun, semua ini memerlukan biayaan kewangan
yang besar. Harga perisian pembaca skrin
untuk komputer mencecah RM4000. manakala
perisian untuk telefon bimbit pula berharga hampir RM1000. tidak semua telefon bimbit boleh dipasang
perisian ini. Biasanya telefon yang
berharga RM500 ke atas yang boleh dipasang perisian ini. Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, demi
mengejar teknologi terkini, seseorang OKU penglihatan itu terpaksalah mencari
wang lebih untuk membolehkannya memiliki peranti dan perisian tersebut. Ini kadang kala membangkitkan rasa kurang
senang dan iri di kalangan masyarakat sekeliling pula.
“Kata miskin tapi boleh pula pakai telefon
bimbit canggih!”
“telefon kami pun tak secanggih telefon dia!”
Begitulah antara kata-kata yang pernah
diungkapkan oleh masyarakat bila melihat telefon bimbit yang digunakan oleh
kami. Yang mereka tidak mengerti ialah
hanya telefon jenis itu sahaja yang memungkinkan kami menggunakan perisian
pembaca skrin.
Kini, ada teknologi yang baru lagi. Sistem Kedudukan Global (GPS) dibangunkan
bertujuan untuk membantu menunjukkan arah kepada pengguna celik khususnya
ketika memandu menuju destinasi yang jarang-jarang dikunjungi. Bagi kami, teknologi ini pula dibangunkan
untuk membantu memberitahu kedudukan sesuatu lokasi yang sedang kami
lalui. Ini sangat membantu kami
terutamanya bila menaiki bas atau teksi.
Kami tidak perlu lagi bergantung kepada penumpang di sebelah untuk
diberitahu bila kami harus turun dari bas itu.
I-
phone dan I-pad pula semakin popular dewasa
ini. Yang menariknya, kedua-dua peranti
ini sudah dilengkapi dengan perisian pembaca skrin. Ini bererti, kami sudah tidak perlu lagi
memikirkan untuk mendapatkan wang tambahan bagi membeli dan memasang perisian
tersebut. Meskipun kedua-dua peranti ini
berkonsepkan “Touch Screen”, namun, ia tidak menjadi halangan bagi kami. Ada
beberapa lagi ciri-ciri istimewa yang datang bersama I-phone yang sememangnya
sangat membantu kami. Ada perisian mengecam warna yang boleh
membantu kami memilih dan menentukan warna pakaian yang sesuai untuk dipakai ke
pejabat atau ke majlis-majhlis tertentu.
Ada
perisian yang membolehkan kami mengambil gambar meskipun pada hakikatnya kami
OKU penglihatan. Itu antara bebarapa
ciri yang turut hadir bersama peranti-peranti yang baru diperkenalkan.
Teknologi terkini juga membolehkan kami
mengakses bahan-bahan audio dengan lebih mudah.
Kalau dahulu kami terpaksa membawa bersama kami bahan tersebut yang dirakamkan
ke pita-pita kaset, piring hitam atau cakera padat, kini, kami hanya perlu
memasukkan bahan tersebut ke dalam telefon bimbit sahaja. Dahulu, novel yang hendak kami baca terdapat
sama ada dalam tulisan Braille atau pita kaset.
Kini, novel kegemaran kami dalam format teks dan MP3 sudah boleh dimuat
turun ke dalam telefon bimbit dan boleh diakses di mana sahaja sama ada di
rumah, pejabat, perhentian bas, dalam kereta api mahupun di lapangan terbang.
Dalam kitab Al-Quran, Allah telah berfirman: “Dan
sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan
(menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu,
nescaya tidak akan habis Kalimah‑kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Luqman, ayat 27)
Antara maksud ayat di atas ialah ilmu yang ada
pada manusia di dunia ini sedikit sahaja.
Oleh yang demikian, kita hendaklah terus berusaha meneroka dan
berikhtiar mencari ilmu yang banyak itu.
Teknologi yang dibangunkan sehingga hari ini sememangnya bahnyak telah
merubah kehidupan kita. Malangnya ia
banyak dibangunkan di Barat. Apakah kita
tidak berkemampuan melakukannya? OKU
penglihatan di negara ini banyak sekali menggunakan teknologi yang dibangunkan
oleh warga negara lain. Semoga satu hari
nanti akan tiba masanya di mana kita boleh berbangga dengan ilmu dan teknologi
yang dibangunkan oleh warga negara kita di negara kita sendiri.
Bagi kami yang OKU penglihatan, kami redha
dengan kekurangan yang telah ditakdirkan ke atas kami. Hendaknya janganlah lagi diambil
nikmat-nikmat yang lain daripada kami khususnya nikmat kepekaan pada hujung
jari dan gegendang telinga serta akal fikir kami kerana indera-indera itulah yang sangat-sangat membantu kami demi
mencapai tahap kehidupan yang lebih cemerlang dan gemilang di muka bumi ini .
No comments:
Post a Comment