14 January, 2010

Kursus Biro Tatanegara - Jangan Tak hadir!

Aku mula berkhidmat dengan kerajaan pada tahun 1990. pada ketika itu, aku adalah penjawat awam dalam kumpulan sokongan. Gelaran jawatanku ialah Penolong Pegawai. Setelah 12 tahun berlalu, aku berpeluang menjawat jawatan dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional pula. Pada tahun 2002, aku melapor diri sebagai seorang pendidik di salah sebuah sekolah menengah di ibu kota.

Sebagai kakitangan awam yang baru dilantik pada waktu itu, aku telah diarahkan untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang, Selangor daripada 24 hingga 28 Februari, 2005. Kursus ini adalah untuk para penjawat awam daripada kumpulan pengurusan dan profesional dan sokongan yang belum disahkan dalam jawatan atau mereka yang sudah sah tapi belum cukup tempoh 3 tahun perkhidmatan. Aku tidaklah berhasrat nak menceritakan isi kandungan kursus tersebut. Sekadar ingin berkongsi pengalaman tentang perjalananku yang agak mencabar dan suspense semasa mencari kem tempat kursus tersebut dengan para pembaca sekalian khususnya para penjawat awam oku penglihatan. Manalah tahu, mungkin kalian akan dipanggil menghadiri kursus di kem berkenaan kelak.

Kami dikehendaki membawa keperluan-keperluan tertentu untuk kursus tersebut seperti kasut sukan, kemeja putih berlengan pendek dan kemeja T putih berkolar dan berlengan pendek. Untuk membeli keperluan-keperluan tersebut, kenalah tunggu hari gaji. Kebetulan, hari gaji pada bulan itu ialah pada 24 Februari. Sebelum bertolak, aku singgah dahulu di salah sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah sebelah Kompleks Kotaraya untuk membeli kasut sukan, kemeja dan kemeja T. Masa tu dah pun jam 4 petang. Masa yang ditetapkan untuk pendaftaran ialah daripada jam 2.30 hingga 4.30 petang. Aku tawakkal sajalah. Yang penting aku berusaha untuk pergi juga menghadiri kursus itu.

Setelah mendapat apa yang aku perlukan, aku pun mulalah melangkah menghala ke Hentian Bas Puduraya. Seorang lelaki telah membantu melintaskan aku ke sebelah yang bertentangan dengan Kompleks Kotaraya. Di situ, seorang amoi pula telah mengambilalih memimpinku sampai ke Puduraya.

Setelah bertanya-tanya, kami masih belum mendapat jawapan yang dicari-cari. Kemudian baru aku perasan kesilapanku. Aku nak pergi ke Sepang. Tapi aku bertanyakan bas ke Kajang. Pattutlah jawapan yang diterima tidak seperti yang dimaklumkan kepadaku. Rupa-rupanya, memang betul. Tangga platform ke Sepang itu memang tidak berapa jauh daripada kaunter syarikat bas Trans Nasional. Amoi tu sungguh tenang dan sabar sekali melayan kerenahku. Mujurlah aku juga mampu mengawal perasaanku semasa mencari-cari bas itu.

Bila dah jumpa tangga platform itu, salah seorang petugas Syarikat Bas Trans Nasional mengambil alih tugas memimpinku. Aku pun mengucapkan terima kasih kepada amoi yang sungguh baik hati tu.

Pukul 5.30, bas ke Sungai Pelek pun beredar daripada Puduraya memulakan perjalanannya. Di dalam bas, aku duduk di belakang pemandu. Aku tak risau apa-apa sebab telah dimaklumkan bahawa Sungai Pelek adalah perhentian terakhir bas ini. Aku dikenakan tambang sebanyak RM2.40 iaitu tambang seperuh harga. Aku sampai di Sungai Pelek pada jam 7.15 malam. Aku perlu menaiki bas Banting pula untuk meneruskan perjalanan ke Kem Bina Negara itu.

Jam menunjukkan pukul 7.30 malam. Bas yang kutunggu belum muncul-muncul lagi. Dalam menunggu itu, terasa juga nak cari makanan tapi tak tahu kedai makan kat mana pulak. Sekali-sekala deria penciumanku ada mengesan aroma makanan sedang digoreng tapi tak kedengaran pula bunyi dentingan senduk dan kuali.

Pukul 8.15 malam. Aku disapa oleh seorang pemuda. Setelah mendapat tahu aku sedang menunggu bas Banting, dia mempelawaku minum di kedainya dulu kerana dia rasa bas tu dah habis dah. Aku menurut pemuda berkenaan ke kedai makan yang rupanya terletak hanya di belakangku saja. Aku memesan air limau ais dan Nasi Goreng Pataya. Salah seorang ahli keluarga tuanpunya kedai itu telah menawarkan khidmatnya untuk menghantarku ke kem tersebut. Sambil kami berbual-bual, tiba-tiba bas sampai. Setelah membungkus makanan dan minumanku, aku pun dipimpin ke bas itu.

"Berapa harga air dan nasi goreng ni?" aku bertanya.

"Tak mengapalah. Tak payah bayarlah." Makcik tu menjawab.

Aku mengucapkan terima kasih kepada makcik, tuan punya kedai makan itu.

Settelah bertanyakan berapa tambang perjalanan ke kem itu, aku meminta agar pemandu itu memaklumkan kepadaku bila dah sampai nanti. Tambangku kali ini ialah sebanyak RM1.20. Tapi pemandu tu tak kutip pun. Bila dah sampai, dia kata tak payah bayar. Setelah bertanyakan arah kem itu, aku mengucapkan terima kasih dan mulalah melangkah mencari jalan masuk ke kem itu.

Berdasarkan maklumat yang aku perolehi menerusi perbualan telefon dengan salah seorang petugas kem tersebut, kem berkenaan terletak tidak jauh daripada jalanraya, katanya. Aku pun mula menyusur di sebelah kiri lorong masuk itu. Lima minit sudah aku berjalan masih tak jumpa simpang atau pintu pagar lagi. Aku berhenti sejenak. Aku ketuk tongkatku sekuat-kuatnya ke atas tar jalan untuk mendapatkan pantulan bunyi bangunan. Tapi tak ada pula pantulan bunyi yang ketara dan meyakinkan. Sedang aku berdiri seketika sambil memikirkan apakah tindakanku seterusnya, tiba-tiba aku terdengar bunyi suara anjing menyalak. Sayup bunyinya. Tapi bukan bunyi salakan yang panjang. Salakan biasa saja tapi lebih dari seekor. Lebih kurang satu minit ada barangkali anjing-anjing itu menyalak. Setelah salakan itu berhenti, tak semena-mena kedengaran pula sayup-sayup bunyi tiupan wisel. Kalau salakan anjing tadi kedengaran jauh di depanku, bunyi wisel itu kedengaran di sebelah kananku. Memang tak ada apa-apa atau siapa-siapa di situ masa tu kecuali aku. Di belakangku masih dapatku dengar bunyi enjin kenderaan bersimpang-siur di jalanraya.

"Ya Allah, janganlah terjadi apa-apa kepadaku. Lindungilah aku." Aku berdoa dalam hati. Lebih-lebih lagi bila teringat malam itu adalah malam Jumaat. Jam ketika itu menghampiri ppukul 9 malam.

Aku memutuskan untuk berjalan di sebelah kanan lorong itu pula. Mungkin tiupan wisel tadi adalah untuk memberitahuku bahawa kem tersebut berada di sebelah kanan lorong itu.

Setelah melintas ke kanan, aku berjalan ke hadapan lagi sambil menyusuri rumput di tepi lorong itu. Lima minit berlalu. Aku masih belum jumpa apa-apa mercu tanda kem itu. Setelah merasakan jalan raya semakin jauh, aku memutuskan untuk berpatah balik dan berjalan ke arah jalan raya semula.

Aku dah hampir putus asa. Aku dah nak dapatkan teksi untuk pulang semula ke KL. Sedang aku termangu-mangu itu, tiba-tiba kedengaran kereta berhenti. Salah seorang penumpang kereta itu turun lalu menyapaku. Setelah dimaklumkan tentang kehadiranku di situ untuk menghadiri satu kursus, dia mempelawaku menaiki Land Rover tersebut. Rupa-rupanya, mereka adalah anggota Pasukan Gerakan Am (polis) yang dalam perjalanan menghantar bekalan air ke satu kawasan yang telah keputusan air. Hampir lima minit juga perjalanan kami menuju kem itu. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga aku ke kem berkenaan.

Setelah aku diserahkan kepada petugas kem berkenaan, aku dibawa ke dewan makan. Di situ, aku makan makanan yang telah dibungkuskan untukku ttadi. Nasib baik ada makanan itu. Kalau tidak, memang kena tunggu pagi esoklah jawabnya untuk makan.

Aku kemudiannya dibawa masuk ke dewan untuk mendengar taklimat kursus. Aku bercadang untuk menelefon orang rumahku di bilik asrama setelah tamat taklimat tersebut. Malangnya, liputan rangkaian telefon bimbit di bilik asrama tidak memuaskan. Kalau nak membuat panggilan, kena pergi ke tempat atau bahagian lain di kem itu selain dari asrama. Oleh sebab malas nak menyusahkan orang, aku memutuskan untuk menelefon orang rumahku esok saja.

Bagaimanapun, dua kali telefon bimbitku berdering. Tapi belum sempat aku menjawab, panggilan berkenaan telah terputus. Ini membuatkan orang rumahku benar-benar risau. Dia telah memaklumkan kepadaku tengah hari esoknya ketika aku menelefon dia dalam perjalanan pulang dari sembahyang Jumaat. Dia menelefon adikku di Kedah; dia menelefon pejabat sekolahku dan akhirnya dia menelefon pejabat Biro Tatanegara di Putrajaya. Barulah dia mendapat tahu tentang keadaanku yang telah selamat sampai malam tadi.

Aku sungguh bersyukur kerana ttelah dilindungi daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini. Aku telah mampu mengikuti kursus tersebut hingga akhir. Semua program aku sertai kecuali aktiviti-aktiviti riadah dan kembara (jungle-tracking). Pada 28 Februari, aku menumpang salah seorang rakan sebilikku yang juga kebetulan rakan sekumpulan denganku semasa berkursus di kem itu. Aku telah dihantar ke stesen komuter di Nilai. Aku kemudiannya menaiki Komuter hingga stesen Kl Sentral dan tiba di rumah semula lebih kurang jam 6 petang.

Kepada para penjawat awam oku penglihatan, seandainya kalian diarahkan untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang, eloklah naik bas ke Sungai Pelek. Kemudian, ambillah teksi. Rupa-rupanya kem itu adalah 1 km daripada simpang tempat bas berhenti. Aku mengetahui hal ini kerana para peserta kursus dikehendaki berlari sejauh 2 km. Salah seorang jurulatih memberitahuku bahawa jarak 2 km itu ialah daripada kem sampai ke tempat bas berhenti dan kemudian kembali semula ke kem. Patutlah aku tak jumpa sebarang mercu tanda kem tersebut semasa tengah tercari-cari pada malam Jumaat itu.

Kem itu sebenarnya baru saja beroperasi sejak bulan September 2004. Itulah kali pertama mereka menerima seorang peserta oku untuk berkursus. Keseluruyhannya, mereka telah berusaha memahamiku dan memberikan layanan yang terbaik dan termampu mereka berikan. Suasana di kem tersebut juga agak mesra oku penglihatan. Tak banyak anak tangga dan longkang. Cuma ia terletak 1 km daripada jalan raya. Makan-minum semasa kursus SUNGGUH MEMUASKAN.

Syukurlah kerana aku telah berjaya lulus dalam ujian yang diadakan pada akhir kursus tersebut. Kini aku sudah tidak lagi bergelar pendidik. Aku telah berhijrah dari sekolah ke pejabat semula dan menjawat jawatan sebagai penolong pengarah.

1 comment:

rasasayang79 said...

salam abang long. haha. buat suspend je cerita pasal anjing tu. tapi abang long tak tanya ke pasal anjing tu kat petugas?

saya pun belum lagi pergi kursus BTN. insyaAllah tahun ni nak mohonlah.

anyway. keep blogging abang long.