25 December, 2010

Anak Gadisku dan Results PMR Dia

Khamis, 23 Disember, 2010.

Pagi itu, Fiqah, anak gadisku yang sememangnya ceria, telah bangun untuk bersiap ke sekolahnya. Aku telah bercuti hari itu, stand-by, kalau-kalau orang rumahku meminta aku menemani Fiqah ke sekolahnya. Namun, Fiqah sudahpun awal-awal membuat rancangan untuk ke sekolah dengan rakan sekelasnya yang juga tinggal di apartment yang sama dengan kami.

Lebih kurang pukul 9.15, dia keluar menuju ke rumah rakannya itu.

10.45, kedengaran orang rumahku berbual dengan Fiqah di telefon. 4A, 2B dan 2C. demikian maklum Fiqah kepada umminya. Alhamdulillah. Syukur ke hadhrat Ilahi. Merasa juga kami nikmat anak beroleh gred A dalam peperiksaan awam walau bukan straight As. Dalam hatiku, tak sia-sia aku memindahkan dia ke SMK Petaling tu. Ramai juga rakan-rakan sekelasnya yang dapat keputusan cemerlang meskipun mereka adalah dalam kelas kedua terbaik.

Lebih kurang pukul 12 tengah hari, dia pun pulang semula ke rumah. Setelah aku dan ummi dia mengucapkan tahniah, dia pun berceritalah tentang suasana mengambil keputusan PMR dia tadi. Rakannya yang tinggal ssama apartment dengan kami dapat 5A. sekali lagi kami bersyukur kerana dia telah berkawan dengan rakan yang boleh diharap untuk saling membantu dalam pelajarannya.

Tahun 2011, mereka akan naik ke tingkatan 4. Tak pastilah sama ada mereka akan dalam kelas yang sama atau tidak. Fiqah bercadang nak ambik akaun.

Semoga kejayaan demi kejayaan akan ditempa oleh anak gadisku ini.

21 September, 2010

Cerita Raya 2010

Lebih kurang empat bulan aku tidak update blog ni. Rasanya ramai dah bosan nak tunggu cerita baru daripada blog aku ni. Sejak main Facebook ni, banyak masa terpaksa diperuntukan untuk dia. Orang baru main FB. Banyak yang perlu diteroka. Akibatnya agak terabailah sikit blog ni. Namun, jauh di sudut hati nubari ni, tetap ada ingatan untuk update blog ni.

Mungkin kisah rayaku tahun ni boleh aku kongsi dengan kalian. Taklah menarik mana pun. Tapi ada beberapa insiden yang telah terjadi bukan atas perbuatan dan perlakuanku tapi telah pun terjadi.

Orang rumahku beriya-iya nak balik kampung dia dengan bas meskipun aku dah terangkan bahawa dengan keretapi lebih jimat sebab anak-anak boleh dapat tambang konsesi sebagai pengiring.

Nasib menyebelahi kami kerana dapat juga aku mendapatkan tiket bas tambahan pergi dan balik ke Jerteh, Terengganu. Kami balik pada malam 8 September menaiki bas tambahan Ekspres Perdana. Bas pukul 10 tapi pukul 11.10 baru bas tu sampai di Hentian Putra. Tidak ada harga konsesi untuk OKU. Harga tiketnya pun lebih mahal sikit. Bas tambahanla katakan! Kul 11.22 baru bas bertolak. Kami sampai di Jerteh kul 9.45 pagi esoknya. Memang lari dari waktu yang dijadualkan untuk kami sampai.

Pada malam raya ketiga (12 September), kami bersalaman dengan keluarga abang iparku buat kali terakhir untuk menaiki bas pulang ke KL. Kali ini, bas Trans Nasional dua tingkat. Harga tiket dia pun mahal sikit. Anak-anakku kena RM59.90 seorang sementara aku dan isteri Rm49.90 seorang. Bas dijangka sampai kul 10.15. Kul 11.30, ada sebuah bas dua tingkat berhenti. Tapi yang tertera ialah City Liner. Kul 12 malam, anak-anak saudara (sebelah orang rumahku) bertanya pada petugas di stesen bas tu. Kata petugas tu, bas kami dah datang kul 11.30 tadi. Bas City Liner tulah bas kami. Rupanya, Trans Nasional menyewa bas tu sebagai bas tambahan untuk raya ni. Yang jadi haru-biru tu sebab Trans Nasional tu kecil je tulisan dia. Tu yang tak perasan tu. Apa lagi yang mampu kami buat melainkan berpatah balik semula ke rumah abang iparku untuk bermalam satu malam lagi.

Pagi esoknya, (Isnin, 13 September), anak-anak abang iparku berikhtiar dan berusaha untuk melihat di internet kalau-kalau ada lagi tiket untuk kami balik ke KL. Alhamdulillah, masih ada lagi tiket keretapi. Abang iparku meminta salah seorang kawan kepada anaknya untuk membeli dulu tiket tu. Memanglah beli dengan harga penuh sebab macam mana nak bagi segala dokumen yang diperlukan untuk tujuan mendapatkan harga konsesi tu.

Kul 12 tengah hari, kami sekali lagi menaiki dua buah kereta untuk ke stesen KTM Wakaf Baru. Kami sampai kul 2.40 dan singgah makan di salah sebuah kedai makan di situ.

Selesai makan, abang iparku dan anak-anaknya pun balik. Tinggallah kami menanti keretapi ke KL. Alhamdulillah, lebih kurang kul 7 malam, kami pun menaiki keretapi pulang ke KL. Tercapai juga hasrat anak-anakku untuk naik keretapi. Nasib baik abang iparku tolong sponsor. Kalau tidak, tak tahulah macam mana kami nak balik. Tiket bas Trans Nasional tu memang burn la!

Aku pula merancang untuk balik beraya di Kedah sekembalinya aku daripada Terengganu. Tiket keretapi aku dah beli pada Isnin tu. Tapi terpaksa burn juga tiket tu disebabkan perjalanan pulang kami yang tertunda tu.

Sesampainya di KL pada pagi Selasa tu, aku terus ke kaunter tiket KTM di Kl Sentral. Alhamdulillah, masih ada lagi tiket ke Alor Setar pada malamnya. Setelah membeli tiket tu, kami pun menaiki teksi pulang ke rumah.

Pada pagi tu juga, handsetku pulak buat perangai. "Sim card registration fail. Okay." Itulah mesej yang tertera dan dibacakan oleh Talx kepadaku pagi tu. Apa hal lak ni! Aku langsung tak boleh buat dan terima panggilan/sms. Ini tak boleh jadi ni. Aku mesti ke Celcom juga untuk menukar kad sim aku. Alhamdulilah, aku tidak menghadapi masalah untuk ke Celcom dan untuk menukar kad sim yang baru.

Malam tu, anak perempuanku menolong menahan teksi untukku ke KL Sentral. Alhamdulillah, tercapai juga hasratku untuk pulang beraya di Kedah pada tahun ni. Tapi dua hari je. Hari Rabu, hujan hampir sepanjang hari. Namun, dapat juga aku beraya di Simpang Empat dan Kubur Panjang. Hari Khamis, cuaca cantik sekali. Aku dapat beraya di 6 buah rumah di sekitar Sungai Petani dan Mergung sebelum berangkat semula pulang ke KL dengan keretapi pada malamnya.

Itu cerita aku beraya di kampung orang rumah dan kampungku. Di rumah kami di KL pun tak kurang juga insidennya. Pada malam Selasa tu, baru kami perasan yang tiga lampu di ruang tamu tidak berfungsi. Apa yang perlu dibaiki pun tak tahu - starterkah, mentolkah atau wayarnyakah!

Sejak semalam, orang rumahku menyuarakan rasa kurang senangnya atas bau gas yang agak ketara di dapur. Anak sulungku membuat ujian untuk mengenal pasti kalau-kalau ada kebocoran pada saluran gas tu tapi tak jumpa pun kebocoran tu. Barangkali kepala gas kot. Betul pun. Setelah Aku ganti kepala yang baru, dah tak ada lagi bau gas tu.

Aku masih lagi bercuti hingga Khamis ni. Mulanya ingat nak join Persidangan Pemulihan OKU di PWTC tu. Tapi aku tak pun berikhtiar untuk mendaftar menghadiri persidangan tu. Cadang nak mula puasa nam. Tapi tak start lagi pun.

Begitulah serba sikit apa yang aku lalui pada raya 2010 kali ini. Apapun, aku seronok sebab dapat beraya di kedua tempat pada tahun ni. Mudah-mudahan, tahun depan pun aku dapat beraya di kedua-dua tempat juga macam tahun ni.

12 May, 2010

Piala Thomas Datang Lagi

Buat ke sekian kalinya, kejohanan Piala Thomas, antara pertandingan yang agung dan paling prestij bagi sukan badminton datang lagi. Tahun ini menyaksikan negara kita menjadi tuan rumah kepada kejohanan itu. Apakah kita akan berjaya memenangi piala itu pada hari Ahad ni? Sama-samalah kita tunggu.

Aku mula didedahkandengan kejohanan ini pada tahun 1970. Ketika itu aku terlantar di Hospital Pualau Pinang kerana menjalani pembedahan mata kiriku yang terpaksa dibedah akibat satu kemalangan ketika aku dan rakan-rakanku sedang bermain kejar-kejar di sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang. Sebulan aku terlantar di sana. Biji mata kiriku terpaksa dikeluarkan akibat daripada perlanggaran trajis itu. Maka bermulalah kehidupanku sebagai seorang buta sepenuhnya.

Ketika itu, aku masih belum miliki radio sendiri lagi. Mr. Brohier, guru besar pada masa itu, sangat prihatin denganku. Beliau antara yang kerap menziarahiku. Aku dalam darjah 2. Hari-hari ada saja rakan-rakan yang datang melawatku di hospital - baik yang sekelas, yang kelas lain mahupun yang senior. Adikku, Cikgu Shimah yang baru kelas tadika, paling kerap dibawa melawatku. Mr. Brohier, di samping membawa rakan-rakan, juga turut membawa buku untuk kubaca semasa di wad.

Satu hari, beliau datang melawatku bagai biasa. Kali ini membawa sebuah radio kecil. Radio ini adalah milik selah seorang rakan seniorku di sekolah tu. Menerusi radio inilah aku mula kenal radio - stesen-stesennya, radio pendidikan, ulasan sukan dan yang sewaktu dengannya.

Kebetulan, pada waktu itu, sedang berlangsung kejohanan Piala Thomas di Jakarta. Mulanya, boring juga aku. Tiap malam ada ulasan pertandingan Piala Thomas. Pada masa tu, pertandingan dijalankan selama dua hari - 5 perlawanan di hari pertama dan 4 lagi pada keesokannya. Aku sendiri pun tak tahu apa benda badminton tu. Yalah! Aku sudahpun bersekolah di sekolah khas. Manalah orang buta main badminton! Bola adalah. tupun yang diubah suai. Bila malam je, buka radio ada badminton. Rasanya, masa dah masuk suku akhir baru aku mula faham permainan tu. Aku pun dah makin berminat dan bersemangat mengikuti pencapaian pasukan negara kita. Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan aik Kwang, Tan Aik Mong dan beberapa nama lagi adalah pemain pasukan kita. Kalau tak silap, negara kita berjaya masuk pertandingan akhir bertemu dengan Indonesia. Masa tu, China belum join lagi.

Dalam keseronokan dan keghairahanku menunggu perlawanan akhir itu, tiba-tiba, Mr. Brohier datang memaklumkan bahawa rakanku itu nak radionya balik sebab dia pun nak dengar perlawanan akhir juga. Terpaksalah aku melepaskan radio itu kembali kepada tuannya dengan rasa sedih dan berat di hati. Keesokannya, aku pun bertanyalah kepada jururawat dan mereka yang datang menziarah tentang keputusan perlawanan akhir itu.

Pada tahun 1994 pula, Piala Thomas datang lagi dengan kenangan lain pula. Kali ini, anak sulungku, Izzat,terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat melecur terkena air panas. Kejohanan tu pun berlangsung di Jakarta juga. Izzat baru 2 tahun lebih. Dah merasai pengalaman terlantar di wad. Tak tahulah dia ingat ke tidak. Tapi tak lama. lebih kurang 5 hari je. Pada hari ke-5 tu, dia demam. Sebelum keadaan bertambah teruk, kami minta untuk bawa pulang Izat ke rumah. Cabaran pada kami ialah untuk membuka dan membalut semula balutan pada kaki kanan Izzat. Dia melecur dari peha hingga ke belakang betis.

Setelah dua minggu tak berapa nampak perubahan yang ketara, kami memutuskan untuk menamatkan saja rawatan di pusat perubatan tu dan beralih ke klinik swasta. Baru kami tahu bahawa anak kami sebenarnya telah dijadikan bahan uji oleh doktor terbabit. Mana ada orang balut kesan akibat melecur? Biasanya kesan itu didedahkan agar ia terdedah kepada udara dan cahaya matahari. Kali ini, barulah nampak kesannya.

Pada tahun berkenaan, negara kita sedang mempertahankan piala yang baru dimenangi pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Malang, kita tumpas di Jakarta. Provokasi peminat fanatik di Jakarta juga adalah antara penyebab kegagalan kita.

Di tahun 2010 ini, aku terkilan juga kerana tiada stesen radio yang membuat ulasan selari kejohanan ini. Radio Klasik Nasional membuat lintas langsung masa Arena Sukan. Radio Bernama membuat lintas langsung semasa waktu beritanya. Hot FM pun membuat lintas langsung ikut suka dia, menyelit antara lagu dan bacaan sms daripada pendengar. BFM (Business FM) ada menyiarkan lintas langsung perlawanan bola sepak English Primeer League pada hujung minggu. Tapi tak buat lintas langsung untuk kejohanan besar ini walaupun dilangsungkan di negara sendiri.

Di negara kita, senarionya seolah-olah para pengulas sukan seperti sudah tidak lagi berperanan. Ini berbeza sekali dengan negara luar. Badan Penyiaran British (BBC), masih menyiarkan ulasan perlawanan sukan seperti bula sepak, tenis, kriket dan lain-lain lagi. Malah, mereka mempunyai satu stesen radio untuk sukan - Radio 5. Apakah radio hanya untuk mendengar lagu dan lagu dan lagu saja?

Besnya kalau radio dapat kembali mengambil peranannya sebagai media pengetahuan dan maklumat di samping hiburan seperti dulu-dulu. Saddisnya!!!