12 May, 2010

Piala Thomas Datang Lagi

Buat ke sekian kalinya, kejohanan Piala Thomas, antara pertandingan yang agung dan paling prestij bagi sukan badminton datang lagi. Tahun ini menyaksikan negara kita menjadi tuan rumah kepada kejohanan itu. Apakah kita akan berjaya memenangi piala itu pada hari Ahad ni? Sama-samalah kita tunggu.

Aku mula didedahkandengan kejohanan ini pada tahun 1970. Ketika itu aku terlantar di Hospital Pualau Pinang kerana menjalani pembedahan mata kiriku yang terpaksa dibedah akibat satu kemalangan ketika aku dan rakan-rakanku sedang bermain kejar-kejar di sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang. Sebulan aku terlantar di sana. Biji mata kiriku terpaksa dikeluarkan akibat daripada perlanggaran trajis itu. Maka bermulalah kehidupanku sebagai seorang buta sepenuhnya.

Ketika itu, aku masih belum miliki radio sendiri lagi. Mr. Brohier, guru besar pada masa itu, sangat prihatin denganku. Beliau antara yang kerap menziarahiku. Aku dalam darjah 2. Hari-hari ada saja rakan-rakan yang datang melawatku di hospital - baik yang sekelas, yang kelas lain mahupun yang senior. Adikku, Cikgu Shimah yang baru kelas tadika, paling kerap dibawa melawatku. Mr. Brohier, di samping membawa rakan-rakan, juga turut membawa buku untuk kubaca semasa di wad.

Satu hari, beliau datang melawatku bagai biasa. Kali ini membawa sebuah radio kecil. Radio ini adalah milik selah seorang rakan seniorku di sekolah tu. Menerusi radio inilah aku mula kenal radio - stesen-stesennya, radio pendidikan, ulasan sukan dan yang sewaktu dengannya.

Kebetulan, pada waktu itu, sedang berlangsung kejohanan Piala Thomas di Jakarta. Mulanya, boring juga aku. Tiap malam ada ulasan pertandingan Piala Thomas. Pada masa tu, pertandingan dijalankan selama dua hari - 5 perlawanan di hari pertama dan 4 lagi pada keesokannya. Aku sendiri pun tak tahu apa benda badminton tu. Yalah! Aku sudahpun bersekolah di sekolah khas. Manalah orang buta main badminton! Bola adalah. tupun yang diubah suai. Bila malam je, buka radio ada badminton. Rasanya, masa dah masuk suku akhir baru aku mula faham permainan tu. Aku pun dah makin berminat dan bersemangat mengikuti pencapaian pasukan negara kita. Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan aik Kwang, Tan Aik Mong dan beberapa nama lagi adalah pemain pasukan kita. Kalau tak silap, negara kita berjaya masuk pertandingan akhir bertemu dengan Indonesia. Masa tu, China belum join lagi.

Dalam keseronokan dan keghairahanku menunggu perlawanan akhir itu, tiba-tiba, Mr. Brohier datang memaklumkan bahawa rakanku itu nak radionya balik sebab dia pun nak dengar perlawanan akhir juga. Terpaksalah aku melepaskan radio itu kembali kepada tuannya dengan rasa sedih dan berat di hati. Keesokannya, aku pun bertanyalah kepada jururawat dan mereka yang datang menziarah tentang keputusan perlawanan akhir itu.

Pada tahun 1994 pula, Piala Thomas datang lagi dengan kenangan lain pula. Kali ini, anak sulungku, Izzat,terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat melecur terkena air panas. Kejohanan tu pun berlangsung di Jakarta juga. Izzat baru 2 tahun lebih. Dah merasai pengalaman terlantar di wad. Tak tahulah dia ingat ke tidak. Tapi tak lama. lebih kurang 5 hari je. Pada hari ke-5 tu, dia demam. Sebelum keadaan bertambah teruk, kami minta untuk bawa pulang Izat ke rumah. Cabaran pada kami ialah untuk membuka dan membalut semula balutan pada kaki kanan Izzat. Dia melecur dari peha hingga ke belakang betis.

Setelah dua minggu tak berapa nampak perubahan yang ketara, kami memutuskan untuk menamatkan saja rawatan di pusat perubatan tu dan beralih ke klinik swasta. Baru kami tahu bahawa anak kami sebenarnya telah dijadikan bahan uji oleh doktor terbabit. Mana ada orang balut kesan akibat melecur? Biasanya kesan itu didedahkan agar ia terdedah kepada udara dan cahaya matahari. Kali ini, barulah nampak kesannya.

Pada tahun berkenaan, negara kita sedang mempertahankan piala yang baru dimenangi pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Malang, kita tumpas di Jakarta. Provokasi peminat fanatik di Jakarta juga adalah antara penyebab kegagalan kita.

Di tahun 2010 ini, aku terkilan juga kerana tiada stesen radio yang membuat ulasan selari kejohanan ini. Radio Klasik Nasional membuat lintas langsung masa Arena Sukan. Radio Bernama membuat lintas langsung semasa waktu beritanya. Hot FM pun membuat lintas langsung ikut suka dia, menyelit antara lagu dan bacaan sms daripada pendengar. BFM (Business FM) ada menyiarkan lintas langsung perlawanan bola sepak English Primeer League pada hujung minggu. Tapi tak buat lintas langsung untuk kejohanan besar ini walaupun dilangsungkan di negara sendiri.

Di negara kita, senarionya seolah-olah para pengulas sukan seperti sudah tidak lagi berperanan. Ini berbeza sekali dengan negara luar. Badan Penyiaran British (BBC), masih menyiarkan ulasan perlawanan sukan seperti bula sepak, tenis, kriket dan lain-lain lagi. Malah, mereka mempunyai satu stesen radio untuk sukan - Radio 5. Apakah radio hanya untuk mendengar lagu dan lagu dan lagu saja?

Besnya kalau radio dapat kembali mengambil peranannya sebagai media pengetahuan dan maklumat di samping hiburan seperti dulu-dulu. Saddisnya!!!

10 May, 2010

Terjemahan Surah 'Abasa

Rakan-rakan dan para sahabat sekalian,

Susulan daripada petikan rencana daripada Utusan Malaysia yang telah saya poskan ke blog ini pada 6 Mei lalu itu, inilah saya perturunkan pula terjemahan sepenuhnya surah yang diperkatakan dalam rencana tersebut untuk sama-sama kita jadikan renungan dan iktibar. Ini ialah surah yang ke-80 dalam kitab Al-Quran.

Saya mohon berbanyak maaf kerana tidak dapat menyertakan sumber terjemahan ini kerana saya perolehi terjemahan ini pun daripada seorang rakan. Mudah-mudahan, sumber ini ialah sumber yang boleh dipegang dan dipercayai. Huallahu a'lamu bissawab.

'Abasa

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(80.1) Ia memasamkan muka dan berpaling,

(80.2) Kerana ia didatangi orang buta.

(80.3) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)!

(80.4) Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

(80.5) Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al Quran),

(80.6) Maka engkau bersungguh sungguh melayaninya.

(80.7) Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).

(80.8) Adapun orang yang segera datang kepadamu,

(80.9) Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah perintah Allah),

(80.10) Maka engkau berlengah lengah melayaninya.

(80.11) Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat ayat Al Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).

(80.12) Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.

(80.13) (Ayat ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah naskhah yang dimuliakan,

(80.14) Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan),

(80.15) (Terpelihara) di tangan malaikat malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz;

(80.16) (Malaikat malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

(80.17) Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?

(80.18) (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah?

(80.19) Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;

(80.20) Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih);

(80.21) Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;

(80.22) Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

(80.23) Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.

(80.24) (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):

(80.25) Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.

(80.26) Kemudian kami belah belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh tumbuhan,

(80.27) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji bijian,

(80.28) Dan buah anggur serta sayur sayuran,

(80.29) Dan Zaitun serta pohon pohon kurma,

(80.30) Dan taman taman yang menghijau subur,

(80.31) Dan berbagai buah buahan serta bermacam macam rumput,

(80.32) Untuk kegunaan kamu dan binatang binatang ternak kamu.

(80.33) Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat,

(80.34) Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,

(80.35) Dan ibunya serta bapanya,

(80.36) Dan isterinya serta anak anaknya;

(80.37) Kerana tiap tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(80.38) Muka (orang orang yang beriman) pada hari itu berseri seri,

(80.39) Tertawa, lagi bersuka ria;

(80.40) Dan muka (orang orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,

(80.41) Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap gelita.

(80.42) Mereka itu ialah orang orang yang kafir, yang derhaka.

06 May, 2010

Aku dan Rakan-Rakan Sekerjaku

Sejak langkah berjimat-cermat dijalankan oleh jabatan tempat kerjaku, ini kali kedua aku terlibat dalam mesyuarat di luar pejabat. Tak jauh pun. Sekitar KL je.

Pada 19 - 22 April lalu, aku menyertai satu mesyuarat yang membincangkan konsep pentaksiran alternatif d Hotel Plaza. Minggu ni (3 - 6 Mei), aku sekali lagi menyertai mesyuarat di luar pejabat. Kali ini di Grand Continental Hotel pula. Tak jauh manapun. Kedua-dua hotel tu sebenarnya bersebelahan je di Jalan Raja Laut.

Dari segi bilik tidur, rasanya Hotel Plaza lebih "spacious" berbanding dengan Grand Continental. Di Grand Continental, nak sembahyang pun agak susah. Kerusi sofa terpaksa diubah posisinya untuk diletakkan di antara dua katil single. Baru ada sikit ruang yang agak selesa untuk mengerjakan solat.

Dari segi mesra OKU pula, hotel ni seperti macam nak mesra dengan OKU khususnya OKU penglihatan tapi sebenarnya masih tak cukup mesra. Lifnya tak ada suara tapi ada huruf Braille. Tapi yang sedihnya, huruf Braille tu hanyalah pada "appearance"nya je. Ada biji-biji timbul tapi kedudukan titik-titik itu begitu rapat sekali hingga agak sukar bagi kita (OKU Penglihatan) nak meraba dan seterusnya mengenal pasti nombor tingkat yang dilekatkan di dinding lif itu. Mujurlah butangnya adalah jenis tekan dan bukan jenis sentuh. Tapi yang leceh sikit, kena swipe kad pintu bilik pulak. Kalau tidak lif tak jalan.

Pada segi yang lain pula, nombor biliknya ditulis dengan nombor biasa tapi timbul. Ini membolehkan seseorang OKU penglihatan itu mencari pintu bilikhya sendiri.

Berbanding dengan Hotel Plaza, agak sukar untuk mencari pintu bilik sendiri memandangkan nombornya tidak timbul. Lifnya pun tiada suara dan Braille.

Aku tidaklah berhasrat nak memperincikan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat itu. Cuma nak melahirkan sedikit rasa terkilan terhadap rakan-rakan sekerjaku terhadapku sepanjang mesyuarat itu.

Masa di Hotel Plaza hari tu, aku diletakkan bersama seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran dalam satu bilik. Bila dah ditempatkan bersama cikgu berkenaan, tak dapatlah aku berinteraksi dan bertukar-tukar cerita dengan rakan-rakan guru dari pendidikan khas masalah penglihatan yang aku kenalai. Di mesyuarat itu, akulah satu-satunya OKU penglihatan yang hadir. Di mana rakan-rakan sekerjaku? Mereka urusetia. Mereka boleh keluar masuk dewan mesyuarat sesuka hati atas alasan tugas urusetia. Aku terpaksa tunggu dari mula hingga akhir setiap sesi.
Di Grand Con ni pula, rata-rata para pesertanya terdiri daripada guru-guru pendidikan khas masalah penglihatan. Kali ini aku tidak keseorangan. Rakan sekerjaku, Khusaini dan Cikgu Zamri dari JB turut serta terlibat. Kami ditempatkan dalam sebuah bilik untuk tujuan membaca pruf dan thermoform (menduakan bahan Braille secara "mamanaskan"nya). Sekali lagi, aku dibiarkan survive sendiri. Yang banyak membantu ialah cikgu-cikgu tu. Rakan-rakan sekerjaku? Bagai biasalah, Urusetia. Mereka di bilik urusetia. Sepatutnya, di situlah stesen mereka. Tapi pagi tadi (Rabu), 4 orang daripada mereka balik ke pejabat. 2 orang tak balik ke hotel langsung sampai ke akhir sesi petang tadi. Agaknya, kalau aku atau rakan-rakan OKU aku yang berbuat begitu, pasti akan dijaja perbuatan kami itu sepanjang-panjang dan seluas-luas yang mungkin.

Kekurangan kami hanalah keupayaan mata. Dari segi gred jawatan, aku dan Cikgu Zamri DG41. Khusaini pula N22. Kalau kami nak buat apa-apa, kena maklumkan kepada mereka. Tapi kalau mereka pula, boleh buat apa saja hingga ada kalanya tak tahu apa nak dijawab bila pegawai atasan bertanyakan tentang mereka.

Bila difikir-fikirkan, rasa malas nak join mesyuarat-mesyuarat macam ni. Baik duduk kat ofis. Tenang dan tenteram. Hati tak sakit. Jiwa tak bergelora. Fikiran pun tak serabut.

Alhamdulillah. Tengah hari nanti, tamatlah mesyuarat ni. Para peserta akan pulang ke tempat masing-masing. Kalau ada umur, jumpa lagi di lain meshyuarat.

Aku pun dah mengantuk dah ni. Biarlah aku stop kat sini je. Nanti banyak pula nak kena pikul dosa mengata orang. Entah bilalah kami akan mendapat layanhan yang setimpal dengan kemampuan dan keupayaan kami. Huallahu a'lamu bissawab.

Intisari Salah Satu Surah Dalam Al-Quran

Para pembaca sekalian, saya terjumpa rencana ini ketika berkunjung ke laman web Utusan Malaysia, Ahad, 2 Mei yang lalu. Saya tertarik dengan tulisan ini kerana agak jarang mesej seperti dalam tulisan ini dibicarakan lebih-lebih lagi secara terbuka dan umum di media cetak perdana seperti ini. Semoga ada pengajaran yang dapat diambil daripada tulisan ini.

Selamat membaca.

Utusan Malaysia
BICARA AGAMA

ARKIB : 30/04/2010
Allah menegur perbuatan Rasulullah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI



Manusia yang baik adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

--------------------------------------------------------------------------------



Mukadimah

SURAH ini termasuk dalam surah makkiah. Diturunkan selepas surah al-Najm. Dalam surah terdahulu dinyatakan berkenaan hari kiamat, manakala dalam surah ini pula menceritakan perihal orang yang mengambil manfaat daripada peringatan itu.

Firman Allah SWT: Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta. Ibn Ummi Maktum datang menghadap Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika itu baginda asyik bercakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah anak Rabi'ah, Abu Jahl Ibn Hisham, Abbas Ibn Abd al-Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan al-Walid Ibn al-Mughirah untuk diajak kepada Islam, diberi peringatan tentang kedatangan hari kiamat, kekuasaan Allah SWT dan diharapkan sebagai orang yang akan menerima balasan baik jika menganut Islam.

Rasulullah SAW amat mengharapkan agar seruannya itu diterima kerana baginda mengetahui andainya mereka menganut Islam pasti ramai yang akan mengikut mereka.

Ini kerana kuasa kepimpinan bangsa Arab terletak di tangan mereka. Ketika baginda asyik bercakap-cakap, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah, katanya: "Ya Rasulullah, bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada tuan".

Berulang kali ucapan itu disampaikan tanpa dia mengetahui kesibukan baginda bersama-sama tokoh kaum yang sedang berbicara sehingga baginda berasa tidak senang hati apabila percakapannya disampuk dan nampak rasa kurang selesa pada raut wajah baginda lalu berubah mukanya menjadi masam lantas ia berpaling.

Firman Allah SWT: Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Tahukah engkau barangkali hati lelaki akan disinari nur Allah yang akan mengubahnya menjadi rumah nur yang sentiasa menerima nur dari langit?

Kebajikan ini akan menjadi kenyataan apabila ada hati yang membuka pintunya untuk menerima hidayah dan apabila hakikat iman terpacak kukuh di dalam hatinya. Inilah persoalan agung dalam neraca pertimbangan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran). Maka Engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal Engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).

Ibn Kathir berkata: Engkau tidak dituntut melakukan hal tersebut jika ia tidak membersihkan dirinya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang segera datang kepada-Mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Al-Maraghi berkata: Ternyata engkau mengabaikan permintaannya.

Firman Allah SWT: Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Wasiat ini berlaku sama kepada seluruh umat manusia dalam menyampaikan ilmu baik antara orang mulia mahupun orang yang hina.

Qatadah dan al-Suddi mengatakan: Iaitu al-Quran. Ini bagi yang sentiasa mengingati Allah.

Firman Allah SWT: (ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), (terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz (malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

Al-Maraghi berkata: Peringatan itu telah dicantumkan dalam kitab Allah SWT yang mulia lagi tinggi, suci dari sebarang kekurangan, tidak bercampur dengan unsur-unsur kesesatan dan diturunkan kepada nabi melalui para malaikat, kemudian peringatan itu diteruskan kepada seluruh manusia.

Penutup

Syed Qutb berkata: Ayat-ayat al-Quran itu mulia dalam semua pertimbangan dan mulia dalam suhuf-suhufnya. Ia dijunjung tinggi dan suci.

Ia diserahkan kepada utusan-utusan para malaikat ang tertinggi, mulia dan taat setia untuk dikirimkan kepada para rasul yang terpilih di bumi supaya disampaikan kepada penghuni-penghuninya.

Itulah sifat malaikat yang mulia dan taat setia. Ayat-ayat itu amat mulia dan suci dalam segala perkara yang dibicara dan disentuh olehnya.

Ayat-ayat tersebut sungguh mulia dan tidak ditawarkan kepada orang-orang yang enggan menerimanya dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak memerlukannya. Ia untuk orang yang mengiktiraf kemuliaannya dan mahu membersihkan diri dengannya.

Penjelasan ayat ini merupakan neraca Allah untuk pertimbangan manusia dan kedudukan mereka dan hanya Dia yang mampu mengatur segala-galanya.