11 November, 2009

Berikan Peluang Itu

Berikan Peluang Itu

Kami dikatakan
Insan kurang upaya
Lantas
Keupayaan kami
Yang masih tersisa
Bagai dilupakan.

Kurang bukan bererti tiada
Sempurna tidak menjanjikan kesempurnaan
Sudah memang adat
Yang sempurna membantu yang kurang
Kerana yang kurang pun
Harus terus meniti hidup
Ingin turut merasa
Nikmat kesenangan
Nikmat kesejahteraan
Nikmat kejayaan.

Kekurangan itu hanya zahir
Yang lain sempurna
Akal waras cekal
Semangat keras kental
Minda luas terbuka
Hati puas menanti
Siap siaga
Memberikan yang terbaik
Positif
Inovatif
Pro-aktif.

Kekurangan bukan pagar besi
Yang menghalang diri
Menjadi maju berdikari.

Lihatlah pada
Kelebihan
Kemahiran
Inttelek
Nilai-nilai murni
Yang membentuk sahsiah peribadi insan
Yang punya rasa dan hati.

Lontarkan jauh-jauh
Prasangka
Ragu
Sangsi
Yang bagaikan
Api dalam sekam
Membakar dalam diam
Hingga realiti
Rentung hangus
Tidak bernilai lagi.

Berikan peluang itu
Yakinlah pada kemampuan kami
Akan kami buktikan
Sepenuh daya dan iltizam
Menyempurnakan tugas dan tanggungjawab
Menyumbang cara kami
Ke arah merealisasikan
Wawasan para pemimpin
Agar tanah air tercinta
Menjadi cemerlang, gemilang, terbilang
Dan maju menjelang 2020.

Semoga kami
Bukan lagi
Insan kurang upaya
Yang tercicir dan terpinggir
Dari arus pembangunan pesat
Di alaf ICT serba canggih.

Kuala Lumpur
21/5/2005

No comments: