Salam kepada para pembaca dan pengikut blog ini. Posting ni adalah tulisan adik saya, Cikgu Norhashimah Hashim sekitar sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2013 Baru2 ni di Negeri saya, Kedah. Beginilah suasana sambutan Hari Raya itu. Cuma tahun ni, saya tidak berkesempatan meraikan bersama2 sanak saudara saya di sana.
Hari Raya Aidil Fitri 2013
Hari Raya Aidil Fitri 2013 agak menarik untuk dikenang. Ini ialah
kerana ada beberapa peristiwa yang dijangka terjadi tetapi tidak
terjadi. Ada pula peristiwa yang tidak pernah terlintas langsung di
fikiranku akan terjadi.
Aku meramalkan hari raya tahun ini agak membosankan kerana adikku yang
sering membawaku beraya ke sana ke mari mungkin tidak berkesempatan
berbuat demikian tahun ini memandangkan ibu mertuanya sakit dan dia
diperlukan untuk membereskan kerja-kerja di dapur. Dia hanya pulang ke
kampung pada 28 Ramadan selepas ibu mertuanya keluar dari wad sebuah
hospital swasta di Subang Jaya. Dia tidak sempat ke taman perumahanku
dan ikut berqiamulail semalam dua di surau kami seperti tahun-tahun
sebelumnya.
Pada 29 Ramadan, dia sibuk mengemas dan memasak. Pada pukul 7.20 malam
baru dia selesai membalut ketupat. Ini menyebabkan kami tidak dapat
berbuka puasa bersama keluarga mak su di Simpang 4 pada hari terakhir
Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya. Mudah-mudahan, mak su tidak
tertunggu-tunggu dan terharap-harap kedatangan kami.
Selesai sembahyang Isyak, alih-alih Ju, menantu sulung pak cik
menelefonku. Dia bertanya di mana dan dengan siapa aku beraya. Aku
menceritakan kesibukan adikku raya ni. Aku jelaskan yang aku akan
sembahyang raya di surau taman perumahanku dan kemudian aku akan duduk
mengadap televisyen. Dia beria mengajak aku beraya bersama mereka di
Taman Berlian. Aku menolak dengan lembut.
Beberapa jurus setelah menamatkan perbualan aku dengan Ju, aku
terdengar bunyi isyarat SMS masuk ke telefon bimbitku. Aku buat endah
tak endah saja kerana menyangka SMS yang masuk itu hanya berupa ucapan
selamat hari raya dari rakan-rakan dan anak muridku. Dengan tidak
semena-mena, telefonku berbunyi lagi. Suara Ju sekali lagi mencecah
ruang dengarku.
“Kak Shimah siaplah. Depa dah bertolak ke Alor Setar nak ambik Kak Shimah.”
“Eh … eh … tak payahlah susah-susah. Kak Shimah …”
“Depa dah bertolak. Siap sajalah.”
Aku jadi panik tidak menentu. Aku tidak pernah menyambut pagi raya di
rumah pak cik. Biasanya, di sebelah petang baru aku akan bertandang ke
sana bersama adikku. Dalam panik itu, aku mencapai telefon bimbitku
dan membaca SMS yang masuk bertalu-talu itu. Rupanya, ada satu SMS
daripada Naja, anak bongsu pak cik dan satu lagi SMS daripada Najmi,
suami Ju yang mengatakan mereka dalam perjalanan untuk menjemputku.
Aku tiada pilihan. Hendak tidak hendak, aku mengemas apa yang patut
sambil mengikuti drama di TV9. Dari semasa ke semasa Naja akan
menelefonku untuk memaklumkan lokasi mereka.
Aku sampai ke Taman Berlian, Sungai Petani menjelang tengah malam.
Selepas merasa tiga empat biji ketupat, aku terus masuk ke bilik dan
mengembara dari satu setesyen TV ke satu setesyen Tv dengan
menggunakan telefon bimbitku. Mungkin kerana kekenyangan, aku sukar
hendak melelapkan mata.
Lebih kurang pada pukul tiga pagi, aku terdengar bunyi dentuman yang
kuat. Serentak dengan itu, aku terasa lantai bilik bergegar. Aku SMS
Naja yang masih menonton TV di ruang tengah untuk bertanya apa
sebenarnya telah terjadi. Aku kira bunyi itu datang dari bilik pak cik
dan mak cik yang bersebelahan dengan bilik Naja. Katil mereka roboh
ke?
“Ada accident depan rumah. Kereta langgar tiang letrik. Tiang tu
terbalik.” Begitu bunyi SMS balasan daripada Naja.
Aku sudah lalok-lalok ketika Naja masuk ke bilik. Tapi, pada pukul
lima, aku sudah pun terbangun untuk berqiamulail dan seterusnya
menunggu masuknya waktu subuh.
Selesai membereskan urusan pagi dan bersarapan, seisi rumah pak cik
termasuk cucu-cucunya yang berusia antara lima hingga tiga belas tahun
bertolak ke masjid untuk sembahyang raya. Sepulangnya kami dari
masjid, aku didudukkan di sebelah pak cik dan mak cik. Anak-anak,
menantu-menantu dan cucu-cucu pak cik mula mengambil giliran lepas
sorang- sorang untuk bersalaman dan bermaafan dengan kami.
Kami kemudiannya telah ke rumah Pak Ngah, seorang lagi bapa saudaraku.
Pak Ngah telah lima tahun dijemput ke alam baqa. Tapi, kami tetap
mengunjungi Mak Ngah dan anak-anaknya. Dari rumah Pak ngah di Taman
Sri Wang, kami menghala ke kampung Mak Cik di Pinang tunggal pula.
“Anak-anak abang hang pakai tak kenai la tok cik dan tok ngah depa.”
Sayu suara Pak Cik melafazkan kata-kata itu sewaktu kami sedang dalam
perjalanan ke Pinang Tunggal.
Rumah pertama yang kami kunjungi di Pinang Tunggal ialah rumah Pak
Ngah Ani, abang Mak Cik yang paling tua. Kami menambahkan lagi
keriuhan di rumah itu yang telah memang sedia riuh. Kemeriahan di
rumah Pak Ngah Ani mengingatkan aku kepada kemeriahan hari raya di
rumah Tok dan Tok wan semasa hayat mereka masih ada.
Penduduk kampung Mak Cik mendapat rezeki terpijak apabila tanah mereka
diambil untuk projek pembinaan keretapi laju. Dengan wang pampasan
itulah Pak Ngah ani dan Mak Ngah Besah dapat menyempurnakan hajat
mereka untuk menunaikan haji dua tahun lalu. Rumah yang paling hampir
dengan landasan keretapi itu ialah rumah Pak Anjang, sorang lagi abang
mak cik. Ketika kami beraya ke sana, aku dapat dengar bunyi keretapi
barang lalu di landasan itu. Landasan itu masih di peringkat
percubaan. Gamatnya suasana apabila keretapi barang itu lalu. Aku
tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan pak anjang dan
keluarganya apabila landasan itu beroperasi sepenuhnya. Kami turut ke
rumah Pak Lang Yit, seorang lagi abang Mak Cik.
Dari Pinang Tunggal, kami kembali semula ke Taman Berlian. Ketika itu
sudah pun pukul 3.30 petang. Pada lebih kurang waktu itulah juga
adikku bersama suami dan anaknya serta Pak Cut bersama anaknya sampai
ke rumah Pak Cik.
Lepas solat asar, kereta adikku dan kereta Pak Cut meninggalkan
kawasan pekarangan rumah Pak Cik dan menuju ke Simpang 4. Aku ikut
serta dengan mereka. Kami singgah di kubur sebelum ke rumah mak su.
Kubur mak cut telah dibersihkan. Mungkin anak-anak mak su yang
menebang dan menebas ketika mereka datang membersihkan kubur ayah
mereka. Adikku meminta yang lain supaya tidak menunggu kami kerana
kami berhajat untuk membaca Surah Yasin. Kali ini kami membaca Surah
Yasin sambil berdiri kerana tidak ada surat khabar untuk melapik duduk
kami.
Selesai membaca Surah Yasin di pusara Mak Cut, kami teringin juga nak
jenguk kubur tok dan tok wan. Malangnya, ada beberapa kelompok orang
sedang membaca Quran dan sedang membersihkan kubur berhampiran. Jadi,
kami berjalan pulang ke rumah mak su ikut batas ban. Oleh kerana Mak
Su tidak ada di rumah ketika kami sampai, kami melencong ke rumah
Toksu Sarah dahulu. Lama juga kami duduk makan-makan di sana sambil
bertukar-tukar berita dan cerita. Toksu Sarah ada bertanyakan abangku.
“Kalau Tok Su tak dak, tah pakat tak mai dah rumah Tok Su ni.” Meski
kata-kata itu diucapkan dalam gelak-gelak, kata-kata itu sarat dengan
nada sinis.
Sewaktu bertemu Mak Su, Mak Su melahirkan rasa kecewanya kerana adikku
tidak singgah mengambilnya ketika hendak ke rumah Pak Cik seperti
tahun-tahun sebelumnya. Entahlah. Segalanya jadi caca merba raya kali
ni.
Ketika azan Maghrib bergema, Pak Cut dan anaknya Kila meminta diri.
Kesian Mak Su. Entah berapa minit saja dia dapat berjumpa Kila, anak
kandungnya. Meski Pak Cut tetap setia mengunjungi pusara Mak Cut
setiap kali tiba hari raya, masa yang dihabiskannya di Simpang 4
semakin singkat. Dia tidak lagi bermalam di Kedah. Ada saja taktik dan
alasannya untuk balik ke Kuala Kangsar.
Selepas solat Maghrib, adikku mengajakku ke rumah Mak Tok dan Tok Wan
(ibu dan bapa mertua Atan) di Kota Sarang Semut. Ketika kami sampai,
mereka sedang beraya di rumah jiran mereka. Jiran mereka ikut
mempelawa kami ke sana.
“Ni Nah ka?” tanya jirannya sewaktu bersalaman denganku.
“Bukan. Ini bukan Kak Nah. Ini kakak kami, kawan Kak Nah.” Jelas adikku.
Aku jadi hairan. Macam mana jiran Mak Tok dan Tok Wan kenal Rosnah,
kawanku pula?
Aku dapat tahu kemudinnya yang keluarga itu pernah berjiran dengan
keluarga Rosnah di Flat Balai Polis Jelutong.
Dari Kota Sarang Semut, adikku membawaku beraya di rumah ibu mertuanya
pula. Emak mertuanya tetap ramah dan mesra seperti selalu.
Bagaimanapun, adikku melaporkan yang ibu mertuanya sudah semakin tidak
berdaya. Jalannya sudah bertongkat. Dia sudah tidak peduli langsung
tentang hal ehwal dapur.
Aku sampai ke rumahku menjelang tengah malam dalam keadaan letih,
kenyang dan mengantuk. Keesokan harinya aku tidak ke mana-mana. Tapi,
perutku tetap kenyang kerana jiranku telah menghantar nasi tomato
kepadaku.
Pada hari raya ketiga, aku mengusulkan kepada adikku agar kami beraya
di rumah Najmi di Kubur Panjang. Anak sulung Pak Cikku itu sudah
kembali ke rumahnya kerana ada kenduri di situ. Adikku menurut.
Lantaran kesibukan adikku bersilat di dapur ibu mertuanya, kami sampai
ke rumah Najmi pada waktu Maghrib. Ju membekalkan kami dengan simpul
kasih dan kuih siput ketika kami hendak pulang.
Destinasi seterusnya ialah rumah rumah bapa mertua salah sorang adik
kami iaitu Man di Jalan Langar. Walaupun Man adik kami, kami lebih
mesra dengan Husna, isterinya. Anak-anak mereka yang lima orang itu
biasanya tidak mahu bersalaman denganku walaupun didesak dan diumpan
dengan duit raya. Tetapi, dalam kunjungan kali ini, mereka sudah mahu
bersalaman denganku ketika aku sampai dan ketika aku hendak pulang.
Ini merupakan satu perkembangan positif. Hanya anak kedua mereka yang
tidak turun ke ruang tamu kerana dia dah tidur.
Dari Jalan Langar, kami main redah saja mencari rumah terbuka sepupu
suami adikku di Jitra. Sekali lagi adegan di Kota Sarang Semut seperti
diulang tayang di sini. Adegan ulang tayang ini lebih meruntun hatiku
kerana melibatkan lebih ramai sanak keluarga dan saudara-mara.
“Ni Nah ka?”
“Makin sihat nampaknya Nah.”
Begitu girang nada suara sepupu sepapat dan kaum kerabat Rosnah kerana
mereka menyangka orang yang sedang dipimpin oleh adikku ialah Rosnah.
Sekali lagi adikku terpaksa memberi penjelasan.
“La, bukan Nah ka?”
“Ingat Nah tadi. Lama tak jumpa dia.”
Mereka menjauh bersama kata-kata itu. Aku tidak berkecil hati apabila
mereka menjauh. Tapi, hatiku ikut terentak. Aku dapat kesan kekecewaan
mereka. Hasrat mereka tidak kesampaian. Kerinduan mereka tidak
terlerai.
Pada petang hari raya keempat, kami ke kampung kenalan adikku di
Tobiar. Kemudian, kami ke rumah Mak di Guar Chempedak. Aku telah
menelefon mak sebelum kami ke sana untuk mempastikan mak ada di
pondoknya. Sepertimana aku, mak juga mula puasa enam hari itu. Kata
mak, dia tak ada apa-apa untuk dimasak sebagai juadah berbuka kami.
Aku mengatakan aku tak kisah jika hanya berbuka dengan nasi dan telur
goreng.
Sudahnya, hampir tidak cukup ruang di pondok kecil mak untuk
menghidang lauk-pauk berbuka. Di samping goreng cempedak, ada sayur
campur, rendang ayam dan ikan bakar. Cepat sungguh mak masak. Di
pondok mak juga kami bertemu dengan adik-adik kami yang lain bersama
keluarga mereka yang ikut bertandang ke situ kerana ingin beraya
dengan kami. Rafi dan anak sulungnya yang tinggal di Sungai Buloh
memang kebetulan pulang beraya dan tinggal di pondok mak. Azian dan
anak-anaknya yang menetap di Sungai Lalang juga tidak melepaskan
peluang keemasan itu. Wan, isteri dan anak-anak mereka juga bersusah
payah datang dari Kampung Paya Kercut, Pendang.
“Pak Long tak balik ka, Mak Ngah?” Aku agak terperanjat apabila soalan
itu ditanyakan oleh Afiq, anak kedua Azian sewaktu dia mengiringi kami
ke kereta. Dalam pada setahun sekali pun dia susah nak jumpa abangku,
anak yang baru berusia sebelas tahun ini tetap mengingati Pak Longnya.
Pada hari raya kelima, berlangsung satu lagi acara penting dalam
keluarga kami iaitu majlis pertunangan anak sulung mak su dengan orang
Mahang, Kulim. Aku tidak ikut serta dalam rombongan peminangan itu.
Tetapi, adikku yang sempat menyertai rombongan itu sebelum meneruskan
perjalanannya balik ke Rawang telah memberi gambaran terperinci
mengenai majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna itu.
Berlalu sudah Hari Raya Aidil Fitri 2013 M/1434 H. Apa yang pasti Hari
Raya aidil Fitri 2014 M/1435 H akan menyusul tahun depan. Tapi,
berupayakah Hari Raya Aidil Fitri tahun depan menemukan yang merindu
dengan yang dirindu? Mampukah Hari Raya aidil Fitri tahun depan
mengukuhkan semula ikatan kekeluargaan yang sudah terlerai? Atau,
mungkinkah ketika itu segalanya sudah terlambat?
17 August, 2013
29 July, 2013
Meringankan Bukan Menambah Beban
Salam. Kita akan masuk sepertiga yang terakhir untuk bulan Ramadhan tahun ini pada Selasa ini. Alhamdulillah, sana sini sudahpun sibuk dengan persiapan2
untuk menyambut ketibaan Aidilfitri. Lalu, sesuai dengan semangat Ramadhan, ramailah pihak yang menghulurkan bantuan untuk golongan2 yang memerlukan. Berbagai
pihak termasuk surau, masjid, agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan lain-lain menganjurkan majlis penyampaian bantuan ini. Biasanya bantuan yang diberi
itu adalah dalam bentuk wang tunai dan barang-barang keperluan harian. Golongan yang dikenal pasti untuk diberikan bantuan itu pula adalah terdiri dari
warga mas, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, saudara-saudara baru dan tidak ketinggalan OKU. Sesungguhnya usaha2 yang dilakukan ini patut dipuji dan
disanjung. Allah sahaja yang membalas keperihatinan pihak2 yang berhati mulia itu.
Cuma, apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah seharusnya semasa membuat perancangan untuk memberi bantuan itu, pihak2 yang berkenaan seharusnya berfikir
di luar kotak juga. Bantuan dalam bentuk wang tunai memanglah sangat2 membantu para penerima bantuan itu. Dengan wang itu, dapatlah digunakan untuk membeli
keperluan yang diperlukan menjelang sambutan Aidilfitri nanti. Akan tetapi, memberi barang2 keperluan seperti beras 10 kg, air kordial/jus 1 liter, gula,
susu, mihun dan berbagai lagi barangan tu ada kalanya menyusahkan pula para penerima bantuan itu. Bayangkanlah bagaimana seorang warga mas, ibu tunggal,
anak yatim dan OKU nak mengangkut barang2 tersebut balik ke rumah dari tempat menerima bantuan itu. Tidak semua memiliki kenderaan; tidak semua mempunyai
kudrat yang gagah; tidak semua tinggal berdekatan dengan tempat di mana majlis penyampaian bantuan itu diadakan.
Sebagai cadangan alternatifnya, rasanya adalah lebih praktikal bagi pihak penganjur menguruskan penghantaran barang2 keperluan yang berat dan besar tu
terus ke kediaman para penerima bantuan. Nama dan alamat serta nombor kad pengenalan sudah tertera pada borang yang diedarkan. Rasanya cara ini lebih praktikal
dan tidak membebankan para penerima bantuan itu yang sememangnya sangat memerlukan bantuan. Kita nak bantu mereka agar dapat meringankan beban mereka.
Bukan nak menambah beban kepada mereka.
Harap2 cetusan fikiran saya ini dibaca oleh pihak2 yang berkaitan agar sesuatu yang lebih positif dan praktikal dapat dirancang pada masa akan datang.
Huallahua'lamu bissawab.
untuk menyambut ketibaan Aidilfitri. Lalu, sesuai dengan semangat Ramadhan, ramailah pihak yang menghulurkan bantuan untuk golongan2 yang memerlukan. Berbagai
pihak termasuk surau, masjid, agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan lain-lain menganjurkan majlis penyampaian bantuan ini. Biasanya bantuan yang diberi
itu adalah dalam bentuk wang tunai dan barang-barang keperluan harian. Golongan yang dikenal pasti untuk diberikan bantuan itu pula adalah terdiri dari
warga mas, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, saudara-saudara baru dan tidak ketinggalan OKU. Sesungguhnya usaha2 yang dilakukan ini patut dipuji dan
disanjung. Allah sahaja yang membalas keperihatinan pihak2 yang berhati mulia itu.
Cuma, apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah seharusnya semasa membuat perancangan untuk memberi bantuan itu, pihak2 yang berkenaan seharusnya berfikir
di luar kotak juga. Bantuan dalam bentuk wang tunai memanglah sangat2 membantu para penerima bantuan itu. Dengan wang itu, dapatlah digunakan untuk membeli
keperluan yang diperlukan menjelang sambutan Aidilfitri nanti. Akan tetapi, memberi barang2 keperluan seperti beras 10 kg, air kordial/jus 1 liter, gula,
susu, mihun dan berbagai lagi barangan tu ada kalanya menyusahkan pula para penerima bantuan itu. Bayangkanlah bagaimana seorang warga mas, ibu tunggal,
anak yatim dan OKU nak mengangkut barang2 tersebut balik ke rumah dari tempat menerima bantuan itu. Tidak semua memiliki kenderaan; tidak semua mempunyai
kudrat yang gagah; tidak semua tinggal berdekatan dengan tempat di mana majlis penyampaian bantuan itu diadakan.
Sebagai cadangan alternatifnya, rasanya adalah lebih praktikal bagi pihak penganjur menguruskan penghantaran barang2 keperluan yang berat dan besar tu
terus ke kediaman para penerima bantuan. Nama dan alamat serta nombor kad pengenalan sudah tertera pada borang yang diedarkan. Rasanya cara ini lebih praktikal
dan tidak membebankan para penerima bantuan itu yang sememangnya sangat memerlukan bantuan. Kita nak bantu mereka agar dapat meringankan beban mereka.
Bukan nak menambah beban kepada mereka.
Harap2 cetusan fikiran saya ini dibaca oleh pihak2 yang berkaitan agar sesuatu yang lebih positif dan praktikal dapat dirancang pada masa akan datang.
Huallahua'lamu bissawab.
08 July, 2013
Dialog Antara Guru2 OKU Penglihatan Dengan Kementerian Pendidikan
Salam. Semalam (Sabtu), telah berlangsung dialog antara guru2 oku
penglihatan dengan Kementerian Pendidikan anjuran Jawatankuasa
Pembangunan Modal Insan
SBM bertempat di premis SBM Cawangan Kl/Selangor. Rata2, yang hadir
adalah guru2 yang mengajar di aliran perdana. Turut hadir juga adalah
Ajai dari Sarawak,
mungkin satu2nya wakil outstation.
Keseluruhannya, kehadiran tidaklah sampai 20 orang. Namun, sesi
tersebut tetap hidup dan penuh dengan maklumat. Secara tak langsung,
sesi tersebut telah
membolehkan guru2 di aliran perdana meluahkan rasa hati mereka
memandangkan belum ada pihak di Kementerian yang dipertanggungjawabkan
untuk menjaga kebajikan
mereka.
Untuk mendengar perjalanan sesi dialog tersebut, sila dapatkan di
pautan berikut:
https://dl.dropboxusercontent.com/u/62533332/Dialog%20Dengan%20KPM%20%286%20Julai%202013%29.MP3
Semoga ada yang boleh dimunafaatkan bersama.
penglihatan dengan Kementerian Pendidikan anjuran Jawatankuasa
Pembangunan Modal Insan
SBM bertempat di premis SBM Cawangan Kl/Selangor. Rata2, yang hadir
adalah guru2 yang mengajar di aliran perdana. Turut hadir juga adalah
Ajai dari Sarawak,
mungkin satu2nya wakil outstation.
Keseluruhannya, kehadiran tidaklah sampai 20 orang. Namun, sesi
tersebut tetap hidup dan penuh dengan maklumat. Secara tak langsung,
sesi tersebut telah
membolehkan guru2 di aliran perdana meluahkan rasa hati mereka
memandangkan belum ada pihak di Kementerian yang dipertanggungjawabkan
untuk menjaga kebajikan
mereka.
Untuk mendengar perjalanan sesi dialog tersebut, sila dapatkan di
pautan berikut:
https://dl.dropboxusercontent.com/u/62533332/Dialog%20Dengan%20KPM%20%286%20Julai%202013%29.MP3
Semoga ada yang boleh dimunafaatkan bersama.
Subscribe to:
Posts (Atom)